KUALA LUMPUR – Kerajaan sedaya upaya berusaha meringankan kesengsaraan mangsa banjir, Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelbagai inisiatif yang dijangka bakal mengurangkan beban yang ditanggung.

Ismail Sabri dalam satu kenyataan mengumumkan inisiatif-inisiatif yang akan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk bantuan yang ditambah baik kepada mangsa banjir selain daripada Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas musibah buruk berkenaan.

Katanya, kerajaan akan memastikan segala bantuan serta kemudahan kepada mangsa-mangsa banjir dilaksanakan secara komprehensif, berkesan dan menyeluruh di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion.

Di bawah inisiatif ini juga, menurut beliau kerajaan telah melaksanakan beberapa penambahbaikan berhubung Bantuan Wang Ihsan atau BWI antaranya ialah RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir; menyalurkan kepada semua ketua isi rumah yang terkesan termasuk kepada mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Selain itu, Perdana Menteri juga memberitahu, peruntukan RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia; mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali sahaja semasa berlakunya Monsun Timur Laut.

“Menyedari mangsa-mangsa banjir memerlukan wang tunai, kerajaan-kerajaan negeri telah membuat bayaran BWI yang telahpun bermula pada 27 Disember yang lalu dan dijangka selesai minggu ini.

“Bagaimanapun Selangor dan Pahang mungkin sedikit lewat berikutan melibatkan jumlah mangsa yang ramai.

“Bagi tujuan ini, saya telah mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini,” tegasnya.

Ismail Sabri juga memaklumkan setakat data terkini, lebih 30,000 KIR telah didaftarkan untuk menerima BWI.

Jelasnya, pihak NADMA telahpun menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 buah negeri. Berhubung bayaran BWI untuk kematian pula,
seramai 25 orang waris telahpun menerima bantuan RM10,000 seperti diumumkan.

Selain itu, kata beliau lagi, kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi menggerakkan kerja-kerja pasca banjir. Selain itu, kerajaan turut menambah RM50 juta lagi khusus untuk negeri Selangor dan Pahang bagi tujuan yang sama.

“Peruntukan ini akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk dan fasiliti awam yang rosak.

“Pada masa ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama-sama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta kontraktor yang telah dilantik sedang giat menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terkesan dengan bencana banjir.

“Bagi mempercepat kerja-kerja mengutip, membersih dan menghantar sisa banjir ke tapak pelupusan, KPKT telah menambah bilangan sumber tenaga dengan melantik lebih banyak kontraktor untuk turun ke lapangan termasuk kawasan-kawasan yang tidak dapat diakses sebelum ini.

“Dengan itu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta tambahan antaranya bagi membiayai perkhidmatan kutipan sisa banjir serta kerja-kerja pembersihan
jalan, fasiliti awam dan halaman rumah mangsa,” ujarnya.

Kata Ismail Sabri setakat 28 Disember 2021, sebanyak 3,000 tan sisa banjir telah dibersihkan di lima buah negeri yang terkesan iaitu Selangor, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka yang melibatkan lebih 1,700 tenaga kerja di bawah seliaan KPKT.