GiSomo – Kafe baru di Cyberjaya yang lahir daripada kisah peribadi, cabaran dan kenangan seorang Cucunda

CYBERJAYA, 29 November 2025— Di tengah suasana kreatif Tamarind Square, sebuah kafe baharu bernama GiSomo membuka pintunya kepada komuniti Cyberjaya. Namun bagi pengasasnya, Syailah Kamaruzaman, 29, pelancaran ini bukan sekadar acara pembukaan sebuah kafe. Ia adalah kemuncak sebuah perjalanan panjang penuh cabaran, jatuh bangun, cubaan yang gagal dan inspirasi keluarga yang tidak pernah padam.

Perjalanan GiSomo tidak bermula dengan bangunan, mesin espresso atau menu. Ia bermula jauh lebih awal, sewaktu Syailah mengusahakan sebuah cart kopi kecil bernama The Bru. Pemilhan nama kafe berubah beberapa kali, tetapi setiap nama yang dicadangkan ditolak oleh pakar MyIPO, Encik Azizi, kerana terlalu generik dan tidak layak didaftarkan. Syailah kembali membuat senarai panjang nama baharu ada yang pelik, ada yang berunsur Jepun, dan ada juga yang langsung tidak masuk akal. Namun semuanya terasa tidak serasi.

Segalanya berubah apabila dia berbincang santai dengan ayahnya. Perbualan itu membawa Syailah kembali kepada asal-usul mereka yang berakar Pantai Timur selalu dekat di hati. Ibunya berasal dari Kelantan, manakala bapanya pula orang Terengganu. Dari gabungan dua negeri itulah muncul ungkapan “Gi Sokmo,” frasa mesra yang sering digunakan oleh orang Pantai Timur untuk membawa maksud “datang selalu.” Dengan sedikit olahan kreatif, lahirlah Gisomo, sebuah nama yang bukan sahaja unik, tetapi akhirnya lulus pendaftaran cap dagangan MyIPO dan terpampang bangga pada hari pelancaran.

Namun perjalanan membuka kafe tidak pernah semudah memilih nama. Renovasi yang memakan masa hampir setahun menjadi ujian paling besar buat Syailah. Ada hari kontraktor tidak muncul, ada hari harga barang naik tiba-tiba, dan ada hari jadual yang dirancang rapi terpaksa dirombak semula. Dalam beberapa detik sukar, dia menangis sendirian di ruang kedai yang masih kosong dan berhabuk, bertanya pada diri sendiri sama ada dia mampu meneruskan.

Pengalaman ini jauh lebih berat berbanding percubaan kecilnya sebelum ini di Menara Mara dan acara komuniti untuk persediaan kepada pembukaan Kafe GiSomo. “Saya ingat saya boleh buka Julai… tapi tak. Cabaran dia memang luar jangka,” katanya, mengimbas kembali hari-hari penuh tekanan itu.

Namun di tengah segala kesukaran itu, ada satu kenangan yang membuatkan Syailah tidak pernah berhenti ingatannya terhadap arwah nenek, wanita yang memperkenalkannya kepada dunia peniagaan, makanan dan kopi. Neneknya seorang “Business woman” dan pakar pastri yang tidak pernah kenal rehat. Setiap pagi, nenek menyediakan kopi, kuih dan sarapan untuk pelanggan di villa mereka.

Sikap rajin dan semangat berniaga neneknya memberi inspirasi besar kepada Syailah sejak kecil, dan dari situlah benih minat terhadap dunia F&B disemai. Kadang-kala Syailah membantu menguruskan villa itu, dan setiap pengalaman kecil itulah yang membentuk kecintaannya terhadap dunia penigaan dan kulinari.

Neneknya bukan hanya rajin, tetapi juga tidak pernah berhenti mencuba perkara baharu. Walaupun sudah selesa, beliau tetap menjahit manik, membuat kuih dan bereksperimen dengan resipi baru. “Dia tak pernah berhenti belajar,” kata Syailah. Sayangnya, ketika Syailah mula mengikuti kelas kopi, mempelajari teknik espresso dan merancang kafe pertamanya, neneknya pergi menghadap Ilahi. Projek kecil yang dirancang di Langkawi terhenti akibat pandemik, dan arwah tidak sempat melihat impiannya berkembang menjadi realiti.

Mungkin sebab itu setiap sudut Gisomo terasa seperti membawa sedikit roh dan semangat neneknya. Menu kafe ini menggabungkan tradisi dan sentuhan moden, mencerminkan identiti keluarganya. Tart Lompat Tikam moden menjadi antara tarikan utama, di samping hidangan seperti Keropok Lekor, Nasi Ulam, pasta, smoothies sihat serta granola bowls untuk mereka yang mencari sesuatu yang ringan dan sihat.

Dari segi kopi, GiSomo menggunakan house blend unik campuran biji Brazil dan Sumatera dipanggang dark roast agar rasanya seimbang, tidak terlalu masam dan sesuai untuk selera anak muda Cyberjaya. Kopi seperti Spanish Latte dan Karamel Latte pasti menjadi kegemaran buat pelanggan yang datang, Setiap cawan disediakan dengan teliti, sesuatu yang sangat dijaga oleh Syailah.

Namun lebih daripada menu, Syailah mahu GiSomo menjadi ruang komuniti. Tempat di mana pelajar, pekerja kreatif, keluarga dan profesional boleh duduk bersama, berkarya, berehat dan berbual tanpa rasa segan. Dengan suasana santai, harga mesra pelajar dan konsep yang inklusif, Gisomo mahu menjadi ruang untuk semua. “Saya nak semua orang rasa mereka ada tempat di sini,” katanya.

Pada hari pelancaran, penyerahan Sijil Cap Dagangan MyIPO bukan sekadar upacara rasmi. Ia adalah simbol kepada perjalanan seorang wanita muda yang pernah cuba, gagal, bangkit semula, jatuh lagi, tetapi tidak pernah berhenti bergerak ke hadapan. “Apa pun jadi, saya tak akan perlahan,” ujarnya dengan yakin.

Kini pintu GiSomo sudah terbuka, aroma kopi mula memenuhi setiap sudut, dan pelanggan pertama telah melangkah masuk. Dan dari sinilah, perjalanan sebenar Gisomo baru sahaja bermula.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat