KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Perak membentangkan Belanjawan Negeri itu bagi tahun 2025 dianggarkan RM1.52 bilion sekali gus mencatatkan belanjawan tertinggi dalam sejarah negeri Darul Ridzuan itu.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan, daripada jumlah keseluruhan itu ia meliputi belanja bagi mengurus berjumlah RM981.80 juta dan pembangunan RM538.0 juta.
“Jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi tahun 2025 dianggarkan RM1.52 bilion – yakni belanjawan tertinggi dalam sejarah negeri. Ia meliputi belanja bagi maksud mengurus RM981.80 juta dan belanja bagi maksud pembangunan RM538.0 juta.
“Belanja mengurus yang terdiri daripada emolumen RM472.73 juta, perkhidmatan dan bekalan RM350.10 juta, pembelian aset RM16.35 juta, pemberian dan kenaan bayaran tetap RM136.42 juta serta lain-lain perbelanjaan RM6.20 juta.
“Peningkatan belanja mengurus tahun 2025 telah mengambilkira kenaikan gaji penjawat awam di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan pelarasan pencen Ahli Dewan Negeri.
“Belanja pembangunan tahun 2025 ditokok dalam jumlah yang besar iaitu RM47.0 juta (9.6 peratus) berbanding
Belanjawan 2024,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Perak 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh pada Jumaat.
Saarani berkata lagi, berkat kerja keras seluruh jentera pentadbiran, Perak berjaya bangkit kembali ke landasan kemajuan.
KDNK negeri merekodkan momentum pertumbuhan tiga tahun berturut-turut.
“Daripada defisit RM78 juta dan RM6.59 juta pada tahun 2020 dan 2021, kita kembali mencatat surplus untuk dua tahun berturut-turut iaitu RM29.6 juta pada tahun 2022 dan RM62.4 juta pada tahun 2023 – iaitu angka tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah.
“Penyata Kewangan Kerajaan Negeri tahun 2023 telah menunjukkan peningkatan prestasi kutipan hasil yang ketara iaitu RM1.2 bilion dengan peningkatan 10.97 peratus berbanding tahun 2022.
” Dan Alhamdulillah, ekoran prestasi dan budaya perbelanjaan yang berhemah dan bertanggungjawab, kenyataan Laporan
Ketua Audit Negara Bilangan 3 Tahun 2024 menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Perak merupakan antara lima negeri yang menerima Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran untuk Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
“Untuk tahun 2024 pula, kita sekali lagi mencipta sejarah apabila seawal bulan Oktober, Perak sudah pun mencapai kutipan hasil mencecah RM1.0 bilion.
“Syukur Alhamdulillah, sukacita saya mengumumkan pada 28 November 2024, kerajaan negeri telah berjaya merekodkan kutipan hasil dan terimaan pembangunan RM1.199 bilion,” umum Adun Kota Tampan itu lagi.
Dalam pada itu, Saarani juga memaklumkan Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sejumlah 500 projek kepada Negeri Perak
di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).
Katanya, daripada jumlah ini, sebanyak enam daripada sepuluh projek berkeutamaan negeri yang diangkat telah diluluskan untuk dilaksanakan mulai tahun 2025.
“Projek yang terlibat ialah RM1.7 billion bagi Projek Penyaluran Air Dari Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Negeri Perak; RM253.4 juta bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Samagagah, Daerah Kerian dan RM108.0 juta bagi RTB Sungai Kinta Fasa 2, Daerah Kinta/ Kampar.
“Selain itu, RM52.9 juta bagi pembinaan baharu Klinik Kesihatan (Jenis 2) dengan kuarters, Chemor; RM100.0 juta bagi pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Meru Raya, Ipoh yang mengandungi 42 bilik darjah dan kemudahan-kemudahan lain.
“RM92.0 juta bagi Pembinaan Baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Botani, Ipoh yang mengandungi 36 Bilik darjah dan kemudahan-kemudahan lain,” ujarnya.
Menurut Menteri Besar Perak itu lagi, selain daripada enam projek tersebut, projek-projek lain yang diluluskan di bawah Rolling Plan RMK-12 juga dijangka mampu meningkatkan aspek ketersambungan antara wilayah serta memacu aktiviti sosioekonomi rakyat Negeri Perak.