PLUS komited memperkasakan keselamatan komuniti lebuh raya – Ahmad Maslan

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

PETALING JAYA – Kejayaan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerima pengiktirafan ISO 39002:2020 – Keselamatan Lalu Lintas Jalan Raya bagi ‘Amalan Baik dalam Pelaksanaan Pengurusan Keselamatan Perjalanan’ menunjukkan PLUS terus komited dan cemerlang dalam memperkasakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di kalangan warganya dan komuniti lebuh raya.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata demikian ketika berucap merasmikan program Hari Keselamatan PLUS di Persada PLUS dekat sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Malaysia (DOSH), Ir. Hj. Mohd Hatta Zakaria; Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS); Ir. Profesor Madya Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak; Pengarah Pemantauan Operasi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Ir. Mohd Shahrir Amin Ahmad, dan Ketua Pegawai Eksekutif NIOSH Certification Sdn. Bhd, Syamsul Zahrin Zainudin.

Ahmad Maslan berkata, pengiktirafan yang diterima oleh PLUS daripada NIOSH menandakan kecemerlangannya dalam mengadaptasi piawaian antarabangsa untuk keselamatan jalan raya, khususnya dalam aspek keselamatan perjalanan.

Menurutnya, pengiktirafan ini juga menunjukkan usaha berterusan PLUS untuk menghasilkan pencapaian yang signifikan dalam memastikan perjalanan pergi dan pulang ke tempat kerja lebih selamat, selesa, dan sejahtera.

“Semua pihak diseru untuk terus menyokong inisiatif keselamatan yang dijalankan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) iaitu MyJalan.

“Melalui kolaborasi aplikasi MyJalan yang diintegrasikan dengan aplikasi PLUS sejak April lalu, usaha ini membolehkan pengguna lebuh raya melaporkan isu berkaitan jalan raya dengan lebih mudah, seterusnya membantu meningkatkan keselamatan jalan raya di negara ini,”katanya.

“Dengan kejayaan seperti ini, PLUS akan terus menjadi peneraju dalam menetapkan penanda aras keselamatan dan kesejahteraan perjalanan pengguna lebuh raya di Malaysia,”katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi PLUS, Dato’ Mohamad Nasir Ab. Latif berkata, berdasarkan statistik oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), bilangan kemalangan melibatkan pekerja pada tempoh Januari hingga Jun tahun ini adalah membimbangkan dengan lebih 41,000 kes kemalangan industri dan perjalanan direkodkan

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 52 % (peratus) kemalangan di Malaysia melibatkan kemalangan industri manakala 48 % pula melibatkan kemalangan perjalanan (pergi dan pulang) dari tempat kerja.

“Manakala, statistik ini dilihat relevan dengan data kemalangan yang direkodkan di Lebuhraya PLUS pada tahun ini menunjukkan 66 % daripada kemalangan melibatkan kenderaan persendirian (Kelas 1), 20 % melibatkan motosikal, manakala 14 % lagi, lain-lain jenis kenderaan.

“Kebanyakan insiden kemalangan tersebut berlaku pada waktu puncak perjalanan hari bekerja.

“Ini menandakan keperluan untuk semua pihak berganding bahu untuk terus meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dan mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko kemalangan,”katanya.

Sementalah itu, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar menjelaskan pendekatan yang dijalankan PLUS dalam usaha pembudayaan keselamatan dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang inovatif dan menyeluruh.

“Antaranya mengadakan program Kelab Peronda Selamat (KPS) dan Kelab CSA Selamat (KCS) yang memfokuskan kepada kakitangan barisan hadapan bertujuan menerapkan tingkah laku selamat melalui pengukuhan nilai positif dan pemberian insentif.

“PLUS turut menggunakan pendekatan S.T.A.R (Stop-Think -Act-Review) untuk memupuk kesedaran warga kerja agar sentiasa mempertimbangkan aspek keselamatan sebelum bertindak,”ujarnya.

“PLUS telah melancarkan ‘HSSE GO’ sebuah gamifikasi keselamatan yang menggalakkan penglibatan aktiviti keselamatan, sekaligus mewujudkan budaya keselamatan yang lestari dengan insentif untuk tingkah laku selamat,” ujarnya lagi.

“PLUS dalam kenyataannya berhasrat menjadi peneraju dalam memupuk budaya keselamatan pekerjaan dan keselamatan perjalanan, bukan sahaja di kalangan warga kerjanya tetapi juga dalam komuniti lebuh raya.

“Komitmen ini sejajar dengan Aspirasi Keselamatan Jalan Raya yang digariskan dalam Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (OSHMP) 2021-2025, bermatlamat memperkukuhkan budaya serta amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang lebih berdaya saing dan cemerlang.

PLUS menjadi syarikat pengendali lebuh raya pertama dalam negara yang telah menerima pengiktrafan ISO 39002:2020 daripada NIOSH Certification Sdn. Bhd. pada September lalu.

“PLUS juga telah menerima Pensijilan ISO 39001:2012 bagi Sistem Pengurusan Keselamatan Trafik Jalan Raya (RTSMS) pada 2020 oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

“Bertemakan ‘MyPLUS Selamat’ program ini memberi fokus kepada keselamatan pekerjaan dan perjalanan (occupational and commuting safety) menandakan komitmen berterusan PLUS untuk meningkatkan keselamatan pekerjaan dan perjalanan.

“Ia bukan sahaja untuk warga kerja PLUS malah pengguna lebuh raya secara keseluruhan, dengan fokus kepada keselamatan perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja,”tambahnya.

“Program ini disertai oleh lebih daripada 1,000 warga PLUS termasuk rakan-rakan strategik keselamatan PLUS antaranya, MIROS, PERKESO, DOSH, NIOSH Certification Sdn. Bhd., wakil-wakil syarikat konsesi lebuh raya, gabungan e-hailing Malaysia (GEM).

“Selain itu, pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Universiti Malaya (UM),”tambahnya lagi. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat