Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – ‘Teater Ranjau Sepanjang’ Jalan, yang diadaptasi daripada novel garapan Sasterawan Negara, Allahyarham Prof Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad dipentaskan buat kali ketiga menyaksikan sambutan luar biasa dan hangat dari peminat setia teater di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kedah, Pumpong dekat sini, baru-baru ini.
Teater ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ diarahkan oleh Mohd Zulkamal Ismail (Joe K.A.S) yang mengangkat semula novel ini ke pentas teater, pernah menjadi juara sempena Festival Teater Kedah 2019.
Kali kedua pula pernah dipentaskan di sini pada 14 Mac 2020 sempena Manifestasi Teater Kebangsaan 2020 turut berjaya mendapat sambutan yang memberangsangkan, terus menjadi sebutan
dan meniti di bibir penggiat teater dan peminat seni utara tanah air.
Joe K.A.S berkata, pementasan teater ini mengetengahkan pelakon Scya Syukur memegang watak Jeha, Yaacob Aziz sebagai Tok Penghulu, Nur Iklima Hawa sebagai Sanah dan dibantu oleh pelakon lain yang terdiri dari kanak-kanak dan remaja dari Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS).
Selain itu kemunculan istimewa pelakon filem ‘Leftenan Adnan’ Hairie Othman yang memegang watak Lahuma.
“Jualan tiket yang berharga RM15 (dewasa) dan RM10 (pelajar) untuk dua malam pementasan itu, ‘sold out’ (habis dijual) dalam tempoh yang singkat menyebabkan para peminat teater terpaksa menyerbu malam pratonton menelusuri teater ini,”katanya kepada SUARA.TV.
‘Ranjau Sepanjang Jalan’ pernah difilemkan oleh pengarah filem Ahmad Mahmud merupakan kisah benar dari Kg. Banggol Derdap, Sik, Kedah mengisahkan Jeha kehilangan suaminya Lahuma yang meninggal dunia angkara terkena duri nibung ketika sedang membajak bendang (sawah padi).
Tinggallah Jeha sebagai ibu tunggal menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak mereka di samping mengusahakan bendang seluas 14 relung terpaksa dibajak secara tradisional mengunakan cangkul dan tajak demi mencari sesuap nasi setiap hari.
Anak-anaknya semua perempuan iaitu Sanah, Milah, Jenab serta adik-adiknya yang masih kecil Liah, Semek dan Kiah. Jeha berasa tertekan dengan kehidupan harian yang seringkali dibayangi bertemu Lahuma akhirnya menjadi kurang siuman.
Jeha terpaksa di hantar ke rumah sakit jiwa di Tanjung Rambutan untuk menerima dan menjalani rawatan, tinggal Sanah yang berusia 16 tahun terpaksa menggalas tugas menjaga adik-adiknya untuk meneruskan kerja-kerja di bendang.
Akhirnya Jeha kembali, namun masalah mentalnya berulang kembali dan terpaksa di kurung dalam kandang oleh Tok Penghulu demi keselamatan Sanah dan adik-adiknya.
Kisah tragis ini telah menyentuh emosi penonton dari awal cerita hingga ke akhir persembahan. Elemen lucu dalam sesetengah babak membuat teater ini punyai warna tersendiri dengan bentuk kontemporari yang menggabungkan lakonan, muzik latar yang syahdu dan lagu menyentuh hati membawa penonton kembali ke zaman petani tahun 60-an.
Ujar Joe K.A.S, ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ yang dianjurkan oleh PENTAS dengan kerjasama JKKN telah mempertaruhkan teater ini sebagai seni yang perlu diberi ruang dalam menyampai mesej dan nilai-nilai kemanusiaan.
“PENTAS akan terus mengembangkan seni teater tempatan agar terus hidup agar mendapat tempat di hati masyarakat, ”ujarnya lagi. – SUARA.TV



