VISI ASEAN 2045: Meninjau Aspek Keselamatan Siber

Dalam era geopolitik yang semakin digerakkan oleh teknologi, ASEAN kini berdepan bentuk peperangan baharu yang tidak menampakkan kehadiran fizikal dan boleh dilancarkan dari mana-mana sudut dunia peperangan siber.

Ancaman ini menjadikan keselamatan digital antara cabang utama dalam landskap keselamatan moden. Di bawah Wawasan ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita (Our Shared Future), rantau ini memikul tanggungjawab besar bukan sekadar merangka haluan strategik jangka panjang, tetapi juga memastikan Asia Tenggara kekal selamat, stabil dan berdaulat di tengah-tengah persaingan siber global yang kian sengit.

Lebih daripada sekadar dokumen aspirasi, ASEAN 2045 menandakan peralihan pemikiran serantau daripada menumpukan keselamatan tradisional kepada keselamatan berasaskan teknologi dan maklumat. Dalam kerangka baharu ini, kedaulatan siber, tadbir urus digital, dan daya tahan teknologi bukan lagi pilihan, tetapi keperluan mendesak bagi memastikan rantau ini tidak menjadi medan pertempuran kuasa besar di alam maya.

Agenda Digital dalam Wawasan ASEAN 2045

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada Mei 2025 menjadi titik penting apabila dokumen ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita dilancarkan secara rasmi. Ia menggariskan wawasan jangka panjang bagi memastikan ASEAN kekal sebagai rantau yang aman, makmur, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat menjelang dua dekad akan datang.

Di bawah Komuniti Politik–Keselamatan ASEAN (APSC), sembilan matlamat strategik digariskan bagi memperkukuh keselamatan dan diplomasi serantau. Dua daripadanya Matlamat Keempat dan Kelima menonjolkan kepentingan keselamatan siber dan tadbir urus digital sebagai asas kepada kestabilan politik dan kedaulatan masa depan ASEAN.

Dokumen Pelan Strategik APSC 2025–2030 menegaskan:

“ASEAN mesti kekal sebagai kuasa pemacu dalam membentuk seni bina serantau dan menyumbang kepada sistem antarabangsa berasaskan peraturan, meskipun berdepan ketegangan geopolitik dan persaingan kuasa besar.”

Serentak itu, Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) turut mengiktiraf keperluan membina ekosistem digital yang selamat, saling terhubung dan berdaya tahan bagi menjamin pertumbuhan ekonomi digital serantau.

Krisis Siber Thailand–Kemboja: Isyarat Baharu kepada ASEAN

Insiden pertempuran di sempadan Thailand–Kemboja pada 28 Mei 2025 menjadi amaran nyata bahawa konflik moden kini tidak lagi terbatas di medan ketenteraan.

Menurut laporan portal Modern Diplomacy, kumpulan penggodam AnonSecKh dari Kemboja mendakwa melancarkan lebih 70 serangan siber terhadap laman kerajaan dan sektor swasta Thailand sebagai tindak balas terhadap insiden tersebut. Kedua-dua negara turut saling menuduh menyebar maklumat palsu dan imej berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang menggambarkan pemimpin masing-masing secara provokatif.

Serangan ini memperlihatkan satu realiti baharu krisis sempadan kini turut menjadi krisis kepercayaan digital. Ia memberi isyarat jelas bahawa ASEAN perlu memperkukuh kemampuan pertahanan siber kolektif sebelum konflik maya menjadi ancaman yang melumpuhkan keyakinan serantau.

Kuasa Besar dan Tekanan Digital

ASEAN juga berdepan cabaran geopolitik yang semakin kompleks di ruang digital. Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kerap menuduh China terlibat dalam kegiatan pengintipan siber terhadap sektor teknologi dan aeroangkasa, sementara Beijing pula menegaskan bahawa ASEAN wajar menolak politik blok dan kekal berkecuali.

Menurut Muhammad Faizal Abdul Rahman, Rakan Penyelidik di Institut Pertahanan dan Kajian Strategik (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang:

“Kerjasama digital ASEAN dengan mana-mana kuasa besar kini tidak lagi neutral secara politik. Ia telah menjadi sebahagian daripada strategi geopolitik global.”

Pandangan ini menegaskan bahawa keselamatan siber bukan lagi isu teknikal semata-mata, sebaliknya telah menjadi medan persaingan pengaruh antara kuasa besar dunia menjadikan ASEAN terpaksa berhati-hati dalam setiap langkah kerjasama digitalnya.

Autonomi Digital vs Tekanan Geopolitik

Cabaran terbesar ASEAN kini ialah mengekalkan autonomi digital tanpa menjejaskan hubungan strategik dengan semua rakan dialog utama termasuk China, Rusia, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Kerjasama dengan China membantu meningkatkan keupayaan teknologi dan infrastruktur digital serantau, namun dalam masa sama menimbulkan kebimbangan terhadap tekanan diplomatik daripada Barat. Maka, dalam dokumen ASEAN 2045, pemimpin rantau sepakat bahawa ASEAN mesti kekal inklusif, berdaulat dan tidak berpihak dalam semua bentuk kerjasama siber dan digital.

Pendekatan ini menuntut diplomasi matang, komunikasi strategik dan kesatuan politik serantau yang kukuh kerana dunia siber kini menjadi gelanggang pengaruh yang menentukan kedaulatan masa depan.

Kedaulatan Siber: Sempadan Baharu ASEAN

Pakar keselamatan rantau melihat kedaulatan siber sebagai “sempadan baharu kemerdekaan ASEAN.”

Menjelang 2045, kestabilan rantau ini bergantung kepada sejauh mana ASEAN mampu:

  • Membangunkan keupayaan pertahanan siber serantau;
  • Membina kepercayaan dan perkongsian data intra-ASEAN yang selamat; dan
  • Mengekalkan neutraliti digital daripada pengaruh kuasa besar.

Wawasan ASEAN 2045 telah menyediakan pelan hala tuju yang jelas, namun kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada kearifan diplomasi dan kesatuan serantau dalam menavigasi ombak geopolitik dunia siber.

ASEAN kini bukan sekadar perlu bersedia menghadapi peperangan tanpa peluru, tetapi juga memastikan kedaulatan digital menjadi benteng utama bagi melindungi masa depan rantau yang aman, stabil dan berdaya saing.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat