Muhyiddin banyak kali pilih jalan sukar, lepas PRU15 kalau terima Kerajaan Perpaduan beliau jadi PM – Marzuki

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, sepanjang perjalanan politiknya, banyak kali Tan Sri Muhyiddin memilih jalan yang sukar.

Menurut Marzuki, apabila berada di persimpangan jalan dan terbentang di hadapannya dua jalan – satu yang mudah untuk dirinya dan satu lagi sukar – dia tidak memilih jalan mudah.

“Ketika beliau dipecat dari Kabinet pada tahun 2015, saya mengiringinya ke Pejabat Perdana Menteri. Saya menunggunya di luar ketika beliau menemui Datuk Seri Najib. Salah seorang Setiausaha Politik Najib mendekati saya dan memberitahu saya lebih kurang begini. “Ada sesuatu untuk Tan Sri Muhyiddin. Jadi jangan risau kalau dia dibuang dari Kabinet”.

“Setelah keluar dari Pejabat Perdana Menteri (Najib) Muhyiddin memberitahu saya supaya berkemas. Beliau telah dipecat dari Kabinet.

“Kemudian barulah beliau beritahu Najib menawarkan untuk mencadangkan beliau dilantik sebagai Yang Di-Pertua sebuah negeri atau Pengerusi sebuah GLC besar sebagai “imbuhan” persaraannya dari politik.
Tanpa memikir panjang beliau menolak tawaran tersebut dan memilih jalan yang sukar, iaitu berjuang sebagai pembangkang.

“Orang kata beliau jatuh dari tempat tinggi. Tentulah sakit. Kalau memikirkan tentang sakitnya menjadi pembangkang, lebih baik beliau terima saja tawaran Najib. Kepada pengikutnya beliau kata siapa nak ikut beliau ikutlah. Yang tak boleh tak mengapa. Beliau faham.

“Jadi tak ramai yang mahu ikut sakit bersama Muhyiddin . Umno Pagoh pun tak ikut beliau kecuali beberapa kerat sahaja yang setia,” dedah Marzuki dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Kemudian katanya, ketika beliau menjadi PM-8, ada pihak yang menawarkan beliau kembali memimpin Umno.

” Ini satu tawaran yang amat menarik. Jika beliau menerima tawaran ini, Umno akan berada di bawah kawalannya dan tentu sekali tidak akan berlaku penarikan sokongan Ahli-Ahli Parlimen Umno terhadapnya. Beliau boleh kekal menjadi Perdana Menteri dengan mudah.

“Tetapi tawaran ini juga ditolak dengan baik. Beliau mahu Bersatu dan Umno fokus pilihanraya dahulu dan menang bersama. Yang lain-lain itu fikir kemudian.

“Jika tawaran ini diterima, perjalanan politik Tan Sri Muhyiddin mungkin menjadi lebih mudah. Beliau boleh kekal menjadi Perdana Menteri tanpa digugat oleh Umno, tetapi parti Bersatu yang beliau sendiri asaskan mungkin akan terbubar.

“Akhirnya, 15 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan darinya dan beliau terpaksa meletak jawatan Perdana Menteri,” ujar beliau.

Di persimpangan jalan ini Marzuki berkata, Muhyiddin memilih jalan yang sukar buat dirinya walaupun jalan mudah telah terbentang luas di depan mata.

“Selepas PRU 15, beliau ditawarkan untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan PH. Saya tidak tahu apa isi kandungan tawaran itu.

“Muhyiddin tidak pernah menceritakan kepada saya. Tetapi menurut sumber yang rapat dengan Istana Negara, jika Muhyiddin menerima tawaran tersebut beliaulah Perdana Menteri.

“Sekali lagi Muhyiddin tidak memilih jalan yang mudah bagi dirinya. Beliau memilih untuk mempertahankan dasar Bersatu dan PN untuk tidak bekerjasama dengan DAP. Pilihan ini betul dari segi prinsip, tetapi meletakkan Muhyiddin di haluan yang lebih sukar dari segi politik.

“Seperti yang saya telah tulis sebelum ini, “kegagalan” PN membentuk kerajaan selepas PRU 15 telah menjadi antara sebab gerakan menjatuhkan Muhyiddin di dalam parti menjadi lebih ganas.

“Tidak ramai orang politik yang mahu menempuh jalan yang sukar semata-mata untuk mempertahankan prinsip. Kebanyakannya mahu jalan senang untuk mendapatkan kuasa. Sifir mudahnya, if you cannot beat them, you join them,” kata Marzuki lanjut.

Sementara itu, semasa Muhyiddin mengumumkan beliau tidak mahu mempertahankan jawatan Presiden dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu dua tahun lalu, Marz menarik nafas lega kerana akhirnya Tan Sri Muhyiddin telah memilih jalan mudah bagi dirinya.

“Pada ketika itu gerakan untuk menjatuhkannya di dalam parti telah masuk gear overdrive dan saya tidak mahu melihat beliau dihina dan dicaci oleh orang-orang yang beliau sendiri naikkan.

“Tetapi belum habis beliau berucap, satu dewan gamat meminta beliau tarik balik ucapannya. Yang di bawah berteriak meminta Muhyiddin jangan berhenti, yang di atas pentas tiada expression. Mungkin kerana terkejut atau kerana gembira. Masing-masing cuba buat “poker face”.

“Kerana dewan sudah gamat, akhirnya mesyuarat khas MPT Bersatu membuat keputusan sebulat suara untuk menolak hasrat Tan Sri Muhyiddin untuk berhenti.

“Pada malam itu Muhyiddin menghantar whatsapp kepada saya bertanya patutkah dia menerima keputusan MPT Bersatu. Saya jawab ringkas saja, “You must stick to your decision”.

“Pada keesokan harinya, oleh kerana desakan bertubi-bertubi daripada para perwakilan yang mahukan beliau terus memimpin, dan ucapan yang di atas pentas sampai mengalirkan air mata merayu supaya Tan Sri Muhyiddin kekal memimpin, beliau akhirnya akur untuk memimpin satu penggal lagi.

“Di dalam dewan pada masa itu semua bangun memberikan standing ovation kepada Muhyiddin. Saya tidak bangun. Kerana di dalam hati saya berkata Muhyiddin sekali lagi memilih jalan yang sukar buat dirinya,” keluhnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat