Baca teliti perjanjian bandingkan negara ASEAN lain, baru nilai sama ada Madani gadai kedaulatan atau tidak – Rafizi

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan jalan yang adil untuk menilai perjanjian tarif yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) ialah dengan menelitinya perkataan demi perkataan.

Kemudian katanya, dibandingkan pula dengan perjanjian tarif antara AS dengan negara Asean yang lain.

“Ada macam-macam reaksi mengenai perjanjian tarif yang ditandatangani di antara Malaysia dan Amerika Syarikat bersempena dengan lawatan Presiden Trump baru-baru ini.

“Pembangkang memanggilnya perjanjian syaitan. Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berucap dengan penuh semangat dan menuntut jawapan kenapa kerajaan serah RM1 trillion kepada Amerika Syarikat.

“Sudah tentu ramai yang mahu tahu pendirian dan pendapat saya. Perjanjian ini dirundingkan oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz bagi pihak kerajaan. Kebiasaannya setelah habis semua rundingan dan draf telah siap, barulah dibawa ke Kabinet.

“Kalaupun ada ruang untuk mengubahnya, ruang itu agak terhad, besar kemungkinan kerana kesuntukan masa. Jika ada anggota Kabinet yang tidak bersetuju, akhirnya keputusan Perdana Menteri itu akan memuktamadkan keputusan Kabinet, cuma pandangan yang berbeza akan direkodkan dalam minit mesyuarat Kabinet.

“Besar kemungkinan kita tidak akan tahu sampai bila-bila apa yang dibincangkan,” jelas Ahli Parlimen Pandan itu.

Selain bandingkan perjanjian AS dengan negara Asean lain, Rafizi berkata, kita juga boleh cuba membuat cost benefit analysis (CBA) untuk menganggarkan kesan kewangan kepada negara.

“Saya sedang melakukan perkara-perkara ini sebelum saya membuka mulut.

“Insya Allah, saya akan kongsi beberapa perkara setakat penelitian saya dalam podcast YBM Jumaat, 31 Oktober ini. Jangan lupa saksikan podcast YBM Jumaat ini bermula jam 9 malam,” seru Rafizi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat