Malaysia ulang kesediaan hantar 1 batalion pasukan pengaman ke Gaza, tunggu mandat PBB

KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi mengulangi kesediaan untuk menghantar satu batalion tentera ke Gaza bagi menyertai pasukan pengaman sekiranya mendapat mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata perkara itu juga sudah pun dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.

Beliau berkata kesediaan Malaysia untuk menghantar tentera bagi menyertai pasukan pengaman ke wilayah terbabit turut dinyatakan kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

“Di pihak Kementerian Pertahanan memang kita bersedia untuk menyediakan satu batalion untuk pasukan pengaman di Gaza. Jadi terpulang kepada PBB.

“Malaysia sememangnya mempromosikan atau pun memang ke arah itu. Kalau kita lihat baru-baru ini melalui (Sidang Kemuncak) ASEAN juga, Perdana Menteri nyatakan kepada Setiausaha Agung PBB hasrat Malaysia, negara kita.

“Komitmen di Kementerian Pertahanan dan juga Kerajaan MADANI, misi pengaman di peringkat antarabangsa adalah satu komitmen jelas kepada memastikan keamanan di peringkat antarabangsa,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai peluang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terbabit sebagai pasukan pengaman PBB di Gaza dan jangkaan bila UNSC akan membuat ketetapan mengenai perkara itu.

Perkembangan lain, menyentuh keperluan membawa pulang aset milik ATM usai misi pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan, Adly berkata pihaknya akan menentukan aset yang diklasifikasikan sebagai strategik untuk tujuan itu.

Beliau berkata terdapat juga cadangan daripada Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) supaya mengekalkan sebahagian aset kepada Angkatan Tentera Lubnan dan pihak berkuasa tempatan, antaranya membabitkan aset terkait kesihatan, lapor BH.

“Bagi aset strategik yang akan kembalikan dalam negara kita, kita akan bawa pulang aset-aset itu,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat