Kerajaan Yang Stabil dan Kuat Dapat Elak Pergolakan Dalam Pentadbiran – PM

- Advertisement -

KUANTAN – Kerajaan yang stabil dan kuat dapat mengelakkan pergolakan dalam pentadbiran yang boleh mengganggu tumpuan terhadap isu penting seperti memulihkan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pergolakan yang berlaku jika kerajaan tidak memperoleh banyak kerusi pada pilihan raya menyebabkan Perdana Menteri atau Menteri Besar perlu memberi tumpuan kepada isu politik sebelum dapat melakukan perkara untuk kepentingan rakyat.

Perdana Menteri berkata sebagai contoh, Kerajaan Negeri Pahang yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail amat stabil dan berupaya membawa pelbagai kejayaan termasuk hasil melebihi RM1 bilion.

“Pada awal pentadbiran saya, kita dapat mengawal politik supaya lebih stabil tetapi akhir-akhir ini, sebelum saya membubarkan Parlimen, kerajaan agak tidak stabil dan pelbagai serangan berlaku bukan hanya dari luar tetapi presiden parti yang bergabung dengan kerajaan juga menyerang saya,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap di Kenduri Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini yang turut dihadiri Wan Rosdy dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Justeru, Ismail Sabri berkata adalah penting untuk BN memperoleh kerusi yang banyak pada 19 Nov ini supaya tidak selamanya perlu menjadi ‘melukut di tepi gantang’ dan mengharap sokongan pihak lain seperti yang berlaku sebelum ini kerana hanya memiliki 42 kerusi di Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum 2018.

“Bila ada yang ugut nak tekan butang, kita pun dengan semangat Mat Kilau sebelum dia tekan saya tekan dulu dan terbubarlah Parlimen pada 10 Okt lepas. Tugas kita sekarang adalah untuk membentuk kerajaan baharu yang boleh menjaga kepentingan rakyat.

“Bila kita kalah dahulu, memang sedih tetapi ia memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk membuat penilaian kerajaan mana yang lebih bagus.

“Dulu masa BN memerintah, macam-macam dilakukan untuk kebaikan dan ekonomi stabil tapi akhirnya semasa Pakatan Harapan memerintah 22 bulan, rakyat boleh nampak segala kemungkaran dan kemusnahan yang dilakukan oleh mereka,” katanya.

Selepas Parlimen dibubarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov ini sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan penamaan calon pada 5 Nov manakala 15 Nov ditetapkan sebagai tarikh mengundi awal. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat