KKM sahkan lima remaja meninggal bukan sebab kesan sampingan vaksin COVID-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan terhadap dakwaan seorang aktivis mengenai kematian lima remaja yang dikatakan selepas mendapat suntikan vaksin di Perak, Sabah dan lokasi yang tidak dimaklumkan, adalah tidak benar,” kata Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata pihaknya mengambil maklum dengan klip video yang tular semalam yang turut menyentuh kemasukan dua remaja ke sebuah hospital selepas mengalami kesan samping susulan suntikan vaksin COVID-19.

Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja itu berkata, dua remaja berusia 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di Ipoh, Perak, meninggal dunia sebelum mereka menerima suntikan vaksin.

“Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun adalah pelajar Tingkatan 5 SMK Tasek Damai. Beliau adalah seorang pesakit penyakit kencing manis jenis 1 yang bergantung kepada rawatan insulin.

“Pelajar ini dijangkiti COVID-19 dan meninggal pada 18 Ogos lalu sebelum Program Vaksinasi PICK Remaja bermula.

“Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, pelajar Tingkatan 5 di SMK Tasek Damai dan menghidap penyakit jantung kongenital. Pelajar ini dibawa ke Unit Kecemasan Hospital akibat jangkitan kuman yang teruk,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, ketika dirawat, bantuan pernafasan dan resusitasi diberikan tetapi beliau meninggal dunia pada 17 September lalu serta belum menerima vaksin COVID-19.

Katanya, punca kematian pelajar terbabit adalah sepsis dengan sejarah penyakit kongenital (Sepsis with Underlying Congenital Health Disease), manakala hasil siasatan pula mendapati tiada laporan kematian remaja di Lahad Datu akibat vaksin COVID-19.

Berhubung dakwaan dua remaja dimasukkan ke hospital selepas mengalami kesan sampingan susulan suntikan vaksin jenis Comirnaty, Dr Noor Azmi berkata, siasatan pihaknya mendapati dua remaja yang berusia 16 dan 18 tahun itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Ipoh.

Beliau berkata, remaja berusia berusia 16 tahun sudah dibenarkan keluar dari hospital manakala remaja yang berusia 18 tahun masih dalam rawatan dan pemerhatian doktor pakar di hospital itu.

“Semakan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagaimanapun mendapati laporan kesan sampingan kedua beradik ini masih belum diterima.

“KKM ingin menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami kesan sampingan akibat vaksin (AEFI), untuk segera membuat laporan AEFI kepada NPRA,” katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Azmi berkata, penyebaran maklumat yang tidak benar kepada masyarakat adalah sikap yang sangat tidak bertanggungjawab selain KKM menasihatkan semua pihak yang ingin membuat kenyataan umum untuk bersedia bertanggungjawab terhadap kesan dan implikasi daripada tindakan yang dibuat.

Beliau berkata, semua pihak perlu memastikan kesahihan sumber maklumat yang ingin dikongsi daripada sumber atau pihak bertanggungjawab, sebelum mengeluarkan maklumat awam.

Katanya, kenyataan yang salah akan menyebabkan kekeliruan dan salah tanggap ibu bapa terhadap Program Vaksinasi COVID-19 untuk Remaja.

Selain itu, beliau berkata, KKM menasihatkan ibu bapa atau penjaga untuk memantau keadaan remaja selepas menerima vaksin Comirnaty berikutan kesan sampingan selepas vaksinasi boleh berlaku dan kebanyakannya adalah kesan ringan.

“Sila bawa anak atau tanggungan ke fasiliti kesihatan dengan segera untuk rawatan sekiranya mengalami gelaja selepas menerima vaksin seperti sakit dada, sukar bernafas, berdebar-debar, bengkak dan gatal pada tubuh yang teruk,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat