PUTRAJAYA, – Statistik Jabatan Perikanan Malaysia bagi tahun 2024 menunjukkan lima spesies utama, ikan selayang, pelaling, kembung, kerisi dan gelama mendominasi jumlah pendaratan ikan di negara ini, sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai pilihan utama rakyat.
Ikan selayang/cerut mencatatkan pendaratan tertinggi dengan 94,234 tan metrik, diikuti pelaling/temenong (79,685 tan metrik), kembung (46,438 tan metrik), kerisi (38,162 tan metrik) dan gelama (32,332 tan metrik). Selain itu, sotong biasa, tongkol dan cencaru turut direkodkan dengan jumlah signifikan.
Ketua Pengarah Perikanan, Dato’ Haji Adnan Hussain, berkata meskipun selayang dan pelaling mendominasi statistik, citarasa rakyat masih cenderung kepada kembung, siakap, bawal, cencaru dan pelaling yang kekal menjadi hidangan utama di meja makan kerana mudah diperoleh, serbaguna dalam masakan serta bernilai tinggi dari segi pemakanan.
“Ikan-ikan ini kekal menjadi pilihan rakyat kerana sentiasa tersedia di pasaran hasil pengurusan sumber yang mampan. Jabatan Perikanan akan terus memperkukuh langkah pemuliharaan, kawalan pendaratan dan perlindungan habitat bagi memastikan bekalan ikan segar terjamin demi menyokong keterjaminan makanan negara,” katanya.
Bagi memastikan kelestarian sumber, Jabatan Perikanan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pemasangan tukun tiruan, pengurusan zon penangkapan dan penguatkuasaan undang-undang perikanan.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, pencapaian ini membuktikan bahawa bekalan ikan segar negara berada pada tahap mencukupi bagi menyokong keterjaminan makanan rakyat.



