Kerajaan dah jadi ‘abang besar’ tentukan apa yang boleh dan tak boleh dibuat rakyat dakwa Tun M

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa hanya kerajaan menikmati kemerdekaan dan kebebasan bukannnya rakyat.

Beliau malah mendakwa kerajaan sudah menjadi “abang besar” yang akan menentukan apa rakyat boleh buat dan tak boleh buat.

“Apa yang kita boleh kata, dan apa yang tak boleh dicakap. Sudah tentu tidak boleh sentuh apa-apa yang kerajaan tidak suka.

“Jadi apakah yang rakyat rayakan pada hari Merdeka? Apakah rakyat rayakan kerajaan yang merdeka dan rakyat yang tidak merdeka,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu juga mendakwa kononnya undang-undang ketika ini juga digubal tanpa melalui proses sepatutnya.

“Yang menikmati merdeka ialah kerajaan. Kalau dahulu membuat undang-undang perlu mengikut proses, sekarang tidak perlu. “my word is law” , sikap Perdana Menteri. Dan polis dan SPRM pun bertindak.

“Tuduhan yang tidak berasas boleh dibuat oleh kerajaan dan siasatan dilakukan. Rakyat yang tidak salah pun boleh dipaksa melapor pendapatan dan perbelanjaan selama berpuluh tahun. Tidak patuh akan didenda atau dipenjara.

“Siasatan boleh ambil masa yang panjang sehingga perbicaraan bertahun-tahun lamanya. Justice delayed is justice denied,” dakwa beliau dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Mahathir menjelaskan,merdeka bermakna bebas – bebas daripada dikuasai oleh orang, bebas dari tekanan, bebas dari kezaliman kerajaan.

Kata beliau, Malaysia dahulu dijajah oleh British.

“Mereka berkuasa ke atas orang Malaysia. Mereka tidak membenarkan kita berpolitik, tidak menubuh parti politik.

“Oleh itu kita berjuang untuk kemerdekaan, berjuang untuk kebebasan dan kita berjaya. Kita memerintah negara kita sendiri. Kita bebas.

“Tetapi hari ini rakyat sudah tidak bebas bersuara, tidak boleh bercakap berkenaan 3R. Surat khabar tidak boleh lapor ucapan pembangkang. Pemberita yang tidak puji Kerajaan di arah disiasat.

“Masa British kita bebas bersurat khabar. Boleh bincang masalah kita dalam forum; Kita boleh kecam Kerajaan British dan Malayan Union mereka. Kita boleh ada rapat umum dan demo jalanan tanpa kelulusan oleh Kerajaan, Badan sukarelawan, iaitu NGO, boleh diadakan.

“Kita boleh cakap berkenaan 3R dan tidak dipanggil oleh polis untuk disoal ataupun ditahan di zaman sebelum merdeka,” ujar beliau.

Bekas Presiden Umno itu berkata, tapi sekarang pelbagai sekatan dikena.

“Sentuh 3R polis akan panggil dan dakwaan dibuat. Walhal 3R tidak melalui proses membuat undang-undang. Pernyataan oleh PM adalah undang-undang. Lulusan Dewan Rakyat tidak perlu.

“Rakyat disimbah asid, ditumbuk tidak menarik tindakan polis.

“Media sosial juga akan disekat. Tidak akan ada kebebasan yang dijanji.

“Jadi siapa yang menikmati merdeka atau kebebasan? soal beliau.

Selain itu, Dr Mahathir juga mendakwa, tekanan boleh dibuat oleh kerajaan tanpa sebab supaya punca kekayaan diperjelas.

Bahkan katanya, harta boleh ditahan sehingga menjadi tekanan ke atas pemilik. Tahanan harta tidak terhad masa tetapi pasport juga boleh dirampas.

Sebaliknya bidas beliau, kerajaan boleh henti perbicaraan penjenayah yang dituduh.

“Kesalahan yang kecil dipenjara tetapi kesalahan yang besar dikurang hukum dan mungkin dibebas.

“Banyaklah lagi sekatan yang dibuat oleh kerajaan yang menunjuk kebebasan kerajaan dan menidakkan kebebasan (merdeka) rakyat,” dakwa beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat