KUALA LUMPUR – Malaysia bersetuju untuk memberikan latihan kepada penjawat awam dan juga ketua-ketua masyarakat juga membawa pengalaman Malaysia membangunkan kawasan pedesaan ke Timor-Leste.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, fokus utama lawatan rasminya ke Timor-Leste adalah pembangunan luar bandar.
“Selepas pertemuan bersama Naib Perdana Menteri I, saya terus ke pejabat Naib Perdana Menteri ll, merangkap Menteri Hal Ehwal Sosial dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Komuniti, Mariano Assanami Sabino.
“Dalam pertemuan ini topik pembangunan luar bandar menjadi tumpuan – dan Malaysia bersetuju untuk memberikan latihan kepada penjawat awam dan juga ketua-ketua masyarakat untuk membawa pengalaman Malaysia membangunkan kawasan pedesaan ke Timor-Leste,” kata Zahid dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan, hasil pertemuan itu telah mencapai beberapa keberhasilan utama.
“Antaranya ialah, kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dua-hala dalam pendidikan tinggi melalui Universiti Teknikal MARA (UniKL) dan Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains, dan Kebudayaan Timor-Leste.
“Pemeteraian MoU antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Human Capital Development Fund Timor-Leste (FDCH) bagi memudahkan meningkatkan jumlah pelajar Timor-Leste mengikuti pendidikan tinggi di Malaysia serta memperkasa bidang kerjasama universiti di antara kedua-dua negara.
“Pemeteraian MoU di antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Nasional Timor-Leste (UNTL) bertujuan untuk mempromosi dan memudahkan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, dan latihan.
“Semoga ini adalah permulaan yang baik, sebelum banyak lagi kerjasama di antara industri, agensi, institusi pendidikan, pelaburan dan perdagangan pada masa hadapan. Insya-Allah kenyataan penuh akan saya kongsikan usai pertemuan saya bersama TYT Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão sebentar nanti,” kata Zahid.