PM Kecewa Kerajaan Sabah Tidak Sehaluan

- Advertisement -

Kota Kinabalu – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kecewa dengan kerajaan Sabah yang tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan di bawah pimpinannya.

Bercakap kepada penjawat awam persekutuan di sini, hari ini, Muhyiddin berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi perkhidmatan itu setakat ini, tetapi beliau hanya menghadapi satu masalah ketika ini.

“Hanya ada sedikit yang saya kecewa…iaitu Sabah tidak sehaluan dengan kita,” katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

“Bayangkan kalau Sabah dan kerajaan persekutuan bekerja sebagai satu pasukan, boleh anda bayangkan? Ini bukan politik, ini realiti…ini sedikit berkempen (untuk pilihan raya negeri akan datang),” katanya yang disambut dengan gelak tawa daripada hadirin.

“Beliau (Ketua Menteri, Shafie Apdal) telah lama jadi rakan saya, dan beliau kembali mentadbir negeri.

“Tetapi, saya rasa dan saya sudah mengalaminya, mempunyai orang di platform sama dan bekerja sebagai satu pasukan akan memberi lebih banyak impak.

“Itu yang saya harapkan, untuk Sabah.”

Beliau turut menggesa penjawat awam persekutuan berfikir lebih kreatif untuk menambah baik perkhidmatan mereka kepada rakyat, khasnya ketika pandemik Covid-19.

Katanya, walaupun penjawat awam terikat kepada pekeliling kewangan dan pentadbiran serta arahan ketua jabatan, ia tidak patut dijadikan alasan untuk tidak meningkatkan perkhidmatan mereka.

“Inilah masanya anda memerlukan kreativiti, keberanian dan bertindak segera.”

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan depan, termasuk ramai daripada sektor awam atas pengorbanan mereka ketika perintah kawalan pergerakan.

Pada masa sama, katanya, kerajaan mengambil usaha mitigasi untuk menangani kesan pandemik melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi.

“Jangan tanya saya dari mana kita dapat wang. Kali terakhir, mereka kata tak ada duit (jadi) ini perlu melibatkan kebijaksanaan PM.”

Muhyiddin turut memuji rakyat kerana mematuhi garis panduan dan SOP ditetapkan.

Katanya, pandemik itu mengajar negara banyak perkara dari segi persiapan untuk menghadapi keadaan terburuk, termasuk dalam pendidikan.

Beliau berkata, Malaysia sepatutnya melalui proses digitalisasi sebelum ini dan, sebagai akibatnya, mengalami kesan Covid-19.

Jika negara melaksanakan rancangan itu lebih awal, katanya, semua pelajar boleh belajar dalam talian, bukannya ketinggalan disebabkan penutupan sekolah.

“Ia adalah salah kami. Sudah tentu, ada rintangan kewangan, tetapi ia adalah pengajaran yang dipelajari…apa yang Covid-19 ajar kita. Tetapi, tidak lama lagi, kami akan melancarkan program digitalisasi ini.”

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat