KUALA LUMPUR- Penemuan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bahawa kebakaran di Putra Heights yang berpunca daripada ketidakstabilan tanah tidak membebaskan Petronas daripada liabiliti atas kejadian itu.
Menurut bekas Menteri Alam Sekitar Yeo Bee Yin, walaupun bersetuju dengan penilaian JKKP bahawa tiada unsur sabotaj atau niat jenayah, Bee Yin yang pernah bekerja sebagai jurutera lapangan dalam industri minyak dan gas tidak bersetuju bahawa tiada kecuaian yang boleh dipertanggungjawabkan.
“Sebagai pemilik saluran paip itu, Petronas sepatutnya memastikan semua aset mereka diselenggara dalam keadaan baik.
“Keadaan bawah tanah tidak seharusnya menjadi alasan untuk kegagalan struktur berskala besar dengan magnitud ini.
“Oleh itu, Petronas perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kerugian akibat kebakaran Putra Heights,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kebakaran yang melibatkan saluran gas Petronas pada 1 April menyaksikan api menjulang lebih 30m ke udara, dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, mengubah landskap sekitar menjadi kawah besar.
Semalam, JKKP berkata paip terbabit tidak disokong sepenuhnya oleh tanah di sekelilingnya berikutan beban kitaran menyebabkan kelemahan pada sambungan kimpalan yang pecah dan mencetuskan kebakaran.
Bencana itu memusnahkan 81 rumah dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, manakala 81 lagi rosak sebahagiannya. Lima puluh tujuh rumah terjejas tetapi tidak terbakar.
Bee Yin berkata walaupun pelbagai bentuk bantuan kewangan diberikan kepada mangsa, ia tidak mencukupi untuk mengimbangi kerugian fizikal, mental dan psikologi yang mereka alami.
“Saya menyeru Petronas untuk menerima tanggungjawabnya dan memberikan pampasan penuh kepada semua mangsa kebakaran Putra Heights, mencerminkan kerugian sebenar mereka.
“Selain itu, Petronas perlu segera menjalankan penilaian struktur menyeluruh ke atas keseluruhan rangkaian saluran paip gas Semenanjung sepanjang 2,623 km bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi,” katanya.