Hutang RM10.8 bilion dipotong separuh hasil pelan ‘Reset’ Sapura Energy

KUALA LUMPUR – Sapura Energy Bhd (SEB) bakal melaksanakan satu Pelan Regularisasi menyeluruh yang akan menyaksikan hutangnya dikurangkan hampir separuh, dalam satu langkah kritikal untuk memulihkan kestabilan kewangan syarikat dan memberi fokus kepada penyelesaian bayaran kepada vendor tempatan.

Memetik laporan BH, pelan yang mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad ini dilihat sebagai satu ‘reset’ atau penetapan semula yang amat diperlukan bagi gergasi perkhidmatan minyak dan gas itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Muhammad Zamri Jusoh berkata, komponen utama pelan ini membabitkan penstrukturan semula hutang yang akan mengurangkan jumlah pinjaman SEB daripada kira-kira RM10.8 bilion kepada sekitar RM5.6 bilion.

“Langkah ini dijangka akan mengurangkan kos faedah tahunan syarikat lebih daripada RM500 juta iaitu pengurangan kira-kira 60 peratus,” lapor akhbar itu pada Selasa.

Penjimatan besar ini akan memperbaiki aliran tunai syarikat secara signifikan, sekali gus meletakkan SEB pada posisi yang lebih kukuh untuk kembali mencapai keuntungan.

Tumpuan utama pelan ini juga adalah untuk menyokong ekosistem minyak dan gas tempatan yang terkesan sebelum ini.

Melalui cadangan pengumpulan dana, Malaysia Development Holding Sdn Bhd. (MDH) akan melanggan sehingga RM1.1 bilion dalam bentuk stok pinjaman boleh tukar boleh tebus (RCLS).

Dana ini diperuntukkan secara khusus untuk menyelesaikan bayaran tertunggak kepada vendor dalam ekosistem minyak dan gas di Malaysia.

Zamri menjelaskan bahawa kunci kira-kira yang lebih kukuh selepas ini akan membolehkan SEB memulihkan operasinya dengan struktur pembiayaan yang lebih mampan.

“Ini membolehkan kumpulan untuk berunding semula dengan klien dan institusi kewangan dengan lebih yakin, terutamanya bagi tender yang memerlukan bon prestasi, jaminan bank, atau modal kerja,” jelas beliau.

Pelan Regularisasi ini turut merangkumi cadangan penyusunan semula modal, seperti pengurangan kerugian terkumpul dan penyatuan saham, untuk memperbaiki struktur modal syarikat.

Bagi SEB, kelulusan dan pelaksanaan pelan ini adalah langkah paling utama untuk memulihkan reputasi dan membina semula keyakinan pasaran sebelum syarikat dapat berusaha untuk keluar daripada status PN17.

“Bagi suku-suku mendatang, kami menjangka sumbangan positif dari projek E&C yang hampir siap di Brazil dan Malaysia, serta projek aktif di Australia dan Malaysia.

“Segmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) terus menyumbang pendapatan stabil daripada pesanan kerja yang dilaksanakan di Malaysia dan Thailand, sambil giat memperluas pasaran ke Asia Tenggara. Manakala, segmen penggerudian beroperasi hampir pada kapasiti penuh dengan sembilan rig sedang beroperasi di bawah kontrak jangka panjang berasaskan kadar harian, terutamanya di Thailand, diikuti Malaysia dan Afrika Barat.

“Kami berharap segala usaha ini mampu mengimbangi aliran hasil dengan kos, terutama apabila lebih banyak projek matang dan pelan penstrukturan dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat