KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh menyelar tindakan segelintir umat Islam yang membaca doa Qunut Nazilah untuk kehancuran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun sesama agama.
Bahkan katanya, ada yang menyamakan beliau dengan monyet dan pemimpin negara asing lain seperti binatang sedangkan perbincangan itu adalah untuk menyelamatkan ribuan nyawa rakyat akibat peperangan antara dua negara (Thailand-Kemboja).
“Berbeza pendapat dalam politik itu perkara biasa,marah kepada lawan politik itu perkara biasa, tetapi Islam tidak ajar untuk mendoakan kehancuran sesama islam dan Islam tidak mengajar kita untuk menghina orang lain.
“Berbeza pendapat dengan fakta bukan dengan emosi yang tidak matang.
“Jika ada yang beritahu,dulu geng sebelah sini buat perkara yang sama juga maka jawapan saya, jika orang sebelum ni makan najis,adakah kita juga mahu buat perkara yang sama? Sudah tentu tidak bukan, sebab kita tahu itu perkara yang kotor,” bidas Exco Melaka itu.
Akmal bagaimanapun menegaskan beliau tidak berniat langsung untuk menjadi penjilat apatah lagi ‘walanon’.
“Malah ada juga perkara yang saya tidak bersetuju dengan beliau (Anwar),tetapi perkara yang tidak betul harus kita tegur dan perkara yang betul harus kita berikan pujian.
“Kalau kita tidak mampu buat kebaikan,jangan halang orang lain untuk buat kebaikan,” tegur beliau.
Tegas Ketua Pemuda Umno itu lagi, rakyat mahukan politik matang yang membina,bukan dengan politik sempit yang merendahkan akal fikiran.
“Jika orang politik masih lagi dengan gaya politik yang sempit,jangan marah rakyat jika mereka benci kepada orang politik!
“Saya bukan ‘walanon’ ataupun ‘walaun’ dan tidak berminat nak jadi seperti itu,saya hanya menyatakan apa yang ada di dalam hati kerana jangan kita menjadi fitnah kepada Islam,” jelas beliau.



