Air Selangor Umum Naik Tarif Air Bagi Pengguna Komersial, Rumah Ibadah dan Kapal

- Advertisement -

SHAH ALAM – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan menaikkan tarif bekalan air baharu pada kadar purata 20 sen setiap meter padu melibatkan kategori pengguna bukan domestik, rumah ibadah dan kapal berkuat kuasa 1 Ogos.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim berkata purata kenaikan itu dianggap masih rendah dan tidak melibatkan pengguna domestik.

“Untuk penggunaan bukan domestik antaranya komersial dan industri iaitu 0 hingga 35 meter padu, kenaikannya adalah daripada RM2.07 kepada RM2.62. Jika melebihi 35 meter padu, kiraannya RM2.86 daripada RM2.28.

“Untuk rumah ibadah, kiraannya menggunakan kadar rata (setiap meter padu) iaitu 46 sen, meningkat kepada 58 sen untuk setiap meter padu. Begitu juga kategori kapal dengan setiap meter padu RM4.23, kini dilaraskan RM7,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor hari ini.

Izham berharap pelarasan tarif baharu bekalan air itu dapat membantu Air Selangor khususnya dari segi perbelanjaan modal yang tinggi dalam memastikan kesinambungan serta kelangsungan operasi syarikat pengurusan air itu.

“Memang banyak kos yang kami tanggung. Kos perbelanjaan modal yang tinggi antaranya RM30 bilion untuk 30 tahun. Kami juga laksanakan kos penggantian paip iaitu sekitar RM150 juta setahun. Ini tidak termasuk lagi kos-kos lain yang melibatkan operasi.

“Bil elektrik untuk setahun sahaja melibatkan RM300 juta. Bahan-bahan kimia untuk rawat air sekitar RM80 ke RM100 juta setahun. Jadi kos (operasi) yang begitu tinggi namun kadar tarif kita adalah antara yang terendah di rantau ini,” katanya.

“Pelarasan tarif bekalan air itu juga turut membantu Air Selangor dalam perancangan kerajaan negeri membina loji rawatan air baharu dan penggantian paip air serta peralatan yang telah usang,” katanya.

Izham berkata demikian bagi mengulas keputusan kerajaan yang bersetuju mengekalkan tarif bekalan air bagi kategori domestik (premis kediaman) di Semenanjung dan Labuan berikutan peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat pada waktu ini.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Jun lepas yang bersetuju dengan perkara itu, turut bersetuju dengan pelaksanaan pelarasan tarif bekalan air bagi kategori bukan domestik serta kategori khas di Semenanjung Malaysia dan Labuan berkuat kuasa 1 Ogos, melibatkan kenaikan purata sebanyak 25 sen bagi setiap meter padu. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,589FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat