KUALA LUMPUR – Jawatan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong selaku Pengerusi dan Bendahari Agung Parti Bangsa Malaysia Perak akan diisi individu lain dalam tempoh terdekat.

Ketua Penerangan Parti Bangsa Malaysia, Zakaria Abdul Hamid memaklumkan, Majlis Tertinggi (MT) parti itu sebulat suara bersetuju menerima permohonan Paul Yong untuk berehat daripada terlibat secara aktif dalam mana-mana aktiviti dan pengurusan parti, sehingga proses rayuan beliau di mahkamah selesai.

“Jawatan Bendahari Agung dan Pengerusi Negeri Perak yang disandang Paul Yong akan diganti dengan pelantikan baharu dalam masa terdekat,” umum Zakaria dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, MT Parti Bangsa Malaysia bersetuju untuk mengadakan Persidangan Agung Tahunan Bahagian pada tarikh 30 Julai 2022 hingga 14 Ogos 2022 dan Persidangan Agung Tahunan Negeri pada tarikh 15 Ogos 2022 hingga 29 Ogos 2022.

Turut diadakan pada tarikh yang sama, persidangan bagi sayap wanita dan pemuda Parti Bangsa Malaysia bagi setiap bahagian dan negeri di seluruh Malaysia.

“Tarikh Persidangan Agung Tahunan Pusat Parti Bangsa Malaysia akan ditentukan di dalam mesyuarat akan datang dan akan dimaklumkan kepada umum nanti,” jelasnya.

Pada 27 Julai lalu, Paul Yong dihukum penjara 13 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada 2019.

Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas Paul Yong selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan Paul Yong diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.