KUALA LUMPUR – Gerakan Belia 4B Malaysia (GB4B) menolak cadangan menaikkan had umur persaraan dan menyifatkannya sebagai tidak sesuai dengan keperluan semasa serta perkembangan pasaran pekerjaan negara.
Presidennya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, keputusan untuk mengekalkan had umur persaraan adalah penting bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia yang kini bersaing dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar.
Beliau berkata, pasaran kerja hari ini menuntut kemahiran baharu seiring perkembangan teknologi digital, justeru, generasi muda mempunyai kelebihan dari segi fleksibiliti dan kebolehan mengadaptasi perubahan terbabit.
“Jika kita terus membuka ruang kepada mereka yang sudah lanjut usia untuk kekal dalam pekerjaan utama, maka peluang anak muda akan terus terbatas dan ini akan memberi kesan kepada pembangunan bakat dan inovasi dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini dilaporkan berkata, kerajaan wajar mempertimbang had usia persaraan di Malaysia dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun, kerana berpendapat ramai dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas masih aktif.
Kenyataan itu mendapat pelbagai reaksi termasuk dalam kalangan golongan muda yang menganggap ia sebagai tidak wajar.
Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, meskipun pengalaman warga kerja senior tidak boleh dinafikan, namun sudah tiba masanya untuk mereka memainkan peranan yang berbeza selepas bersara, bukan terus bergantung kepada kerjaya tetap.
“Kita mengiktiraf sumbangan warga emas dalam sektor pekerjaan, tetapi peranan mereka sepatutnya berubah kepada bentuk yang lebih fleksibel dan berorientasikan bimbingan.
“Sebagai contoh, mereka boleh dilantik sebagai mentor, penasihat komuniti, pembimbing di sekolah atau fasilitator di universiti, sekali gus membolehkan mereka terus menyumbang tanpa perlu bersaing secara langsung dengan tenaga kerja muda,” katanya.
Kerajaan juga, katanya, perlu memberi perhatian terhadap kesejahteraan golongan pesara dengan memperkukuh sistem sokongan sosial supaya mereka tidak terpaksa kembali bekerja semata-mata untuk menampung kehidupan.
Serentak itu, beliau berkata, kestabilan tenaga kerja negara hanya boleh dicapai apabila berlaku keseimbangan antara peluang kepada anak muda dan pengiktirafan kepada generasi lama.