Agenda tatakelola kini dah jadi agenda ‘tata ke laut’ – Bersatu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Rakyat semakin hairan mengapa Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki beria-ria mempertahankan isu pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor kepada syarikat milik suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kata Ketua Penerangan Bersatu.

Menurut Datuk Razali Idris, seolah-olah kenyataan Ketua Pengarah SPRM yang menepis soal moral dilihat tidak boleh dijadikan sandaran dalam isu ini, tetapi ditegaskan berulang-ulang lagi bahawa pemberian kontrak itu tidak ada salah kerana mengikut prosedur dan undang-undang seadanya.

“Soalnya rakyat semakin bertanya, apakah daripada aspek moral bukannya antara intipati yang boleh menjuruskan kepada soal rasuah?

“Dalam hal ini, rakyat hendak mengingatkan Ketua Pengarah SPRM takut-takut terlupa atau terlepas pandang bahawa risiko rasuah ini terletak di dalam komponen “hazard risk” yang menyentuh kepada isu-isu melibatkan MORAL selain integriti, fraud dan salah laku.

“Nampak tak elemen moral itu! Jadi rakyat nak tanya semula kepada Ketua Pengarah SPRM dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang semakin melalut dan kalut dengan agenda tatakelola yang kini agenda tata-ke-laut, adakah ada elemen moral diambil kira, diperincikan atau diperhalusi dalam pemberian kontrak DRT? soal Razali dalam kenyataannya pada Rabu.

Jadi kata beliau, rakyat bertanya – agak-agaknya adakah agenda dan hasrat bagi membanteras rasuah dalam pentadbiran negara dan sistem sosial masyarakat serta mewujudkan satu sistem tadbir urus yang baik (good governance) di kerajaan Madani ini benar-benar mewujudkan masyarakat yang mempunyai etika dan integriti yang tinggi yang boleh dipercayai?

“Adakah elemen moraliti kukuh dan mantap sebagai prinsip di bawah kerajaan Madani ini yang kononnya PMX telah memberi bayangan dan gambaran bahawa pentadbirannya telah memberi khidmat yang adil dan sempurna kepada rakyat dan pelanggan?

“Rakyat hendak mengingatkan moral baik tercetus menerusi etika dan integriti yang akan menjadi benteng kepada berlakunya gejala rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, ahli Dewan Negara itu memperincikan definisi rasuah iaitu penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun.

“Tetapi menerusi penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) di peringkat Kementerian, Negeri dan Daerah, melalui JKP ini, terbentuk satu kaedah pengurusan awam dikenali sebagai Sistem Pengurusan Akauntabiliti dan Integriti Sektor Awam (SPAI), yang dibangunkan dengan kerjasama SPRM bersama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

“Bagi memantapkan peranan JKP, ia digantikan dengan Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus (JKTU) yang mengesyorkan Kementerian, Jabatan dan Agensi hendaklah mengamalkan teknik-teknik pengurusan risiko sebelum melaksanakan sesuatu projek atau program terutamanya yang berisiko tinggi untuk meminimalkan risiko semasa pelaksanaannya.

“Tetapi apakah pemberian kontrak DRT benar-benar menggambarkan moral yang baik? Rakyat hendak mengimbau sedikit sejarah bahawa menerusi kerakusan moral boleh menyebabkan kemusnahan sesuatu bangsa atau negara, malahan menerusi kerosakan moral adalah berpunca daripada kerapuhan akhlak para pentadbir, penguasa dan pekerja bawahan,” katanya.

Tambah beliau lagi, runtuhnya tamadun Islam di Andalusia, India dan Turki selama ratusan tahun berpunca daripada golongan penguasa yang mementingkan kemewahan sehingga meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan dan moral.

Ujar Razali, kejatuhan Kerajaan Melaka selepas kematian Tun Perak antara lain disebabkan oleh kemerosotan akhlak dan moral pegawai-pegawai yang zalim, suka berfoya-foya, tidak menghiraukan ilmu agama, tidak adil dan tidak bertimbang rasa.
Contoh di atas memperlihatkan bagaimana moral dan etika memainkan peranan yang kritikal dalam menentukan kecemerlangan tamadun sesuatu bangsa dan negara.

“Soal besar sekarang adalah moral, moral, moral.

“Jangan kekadang menghalalkan cara, berpaksikan kepada peraturan benar tetapi niat dan moral itu terpesong, ia tetap tidak betul. Rakyat akan menghukumnya,” tegas beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat