MySejahtera, KKM dituntut perjelas keselamatan data peribadi – Mohamad Hasan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Aplikasi MySejahtera dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dituntut menjelaskan beberapa kekeliruan memandangkan ia mencetuskan kebimbangan berhubung maklumat peribadi rakyat.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu walaupun KKM
telahpun memberikan penjelasan, ada beberapa kekeliruan yang wajar dijelaskan.

Terutama katanya tentang perlantikan MySJ Sdn. Bhd. melalui mekanisme rundingan terus, dan bukannya melalui tender terbuka.

Tegas Mohamad, rakyat berhak mengetahui rasional dan motif serta kemampuan entiti yang terlibat.

“Aplikasi MySejahtera dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia bagi tujuan pengawasan penularan wabak COVID-19. Alhamdullilah, ia adalah aplikasi yang sangat membantu dan bermanfaat.

“Namun laporan pelantikan entiti persendirian, MySJ Sdn. Bhd. sebagai syarikat yang akan menguruskan applikasi MySejahtera untuk fasa seterusnya, adalah sesuatu yang membimbangkan,” ujar beliau.

Apalagi katanya kerana keputusan sebegini melibatkan pengurusan data peribadi dan maklumat kesihatan, pergerakan dan trendkehidupan puluhan juta rakyat Malaysia.

“Janganlah kita lupa bahawa aplikasi ini dibangunkan pada awalnya sebagai suatu tanggungjawab sosial korporat untuk mendepani pandemik yang menular.

“Apa-apa tujuan lain selain pengawalan pandemik memerlukan kerajaan melakukan libat urus yang komprehensif dengan semua pemegang taruh, terutamanya rakyat Malaysia,” kata beliau.

Mohamad mengingatkan segala rencana menaik-taraf penggunaan aplikasi tersebut, bagi memudahan urusan pendermaan organ atau apa jua urusan kesihatan yang lain, walaupun bermanfaat, namun adalah tidak selari dengan tujuan asal pembangunan aplikasi tersebut.

Dan kata beliau lagi, sekiranya cadangan menaik taraf dan mempelbagaikan fungsi MySejahtera ini ingin dilakukan, mekanisme semak dan imbang sangat diperlukan bagi memastikan keutuhan maklumat peribadi rakyat Malaysia tidak dikompromi.

“Malaysia akan memasuki fasa endemik mulai 1 April 2021. Kerajaan juga wajar memutuskan rasional penerusan pendaftaran melalui MySejahtera dan kewajipan pengaktifan MySJTrace.

“Rakyat Malaysia tidak boleh selamanya dibebani dengan mekanisme ‘surveillance’ yang secara langsung, mencerobohi privasi dalam pergerakan dan kehidupan seharian mereka.

“Tentukanlah tempoh masa, sebelum semua ini boleh kita hentikan, demi normalisasi kehidupan rakyat Malaysia sama seperti sebelum pandemik.

“Ketelusan dalam semua perkara ini adalah sangat penting, dalam mengukuhkan keyakinan rakyat tentang pelan kerajaan dalam melebarkan aplikasi MySejahtera dari fungsi asalnya,” tegas beliau.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan melakukan penjualan aplikasi MySejahtera kepada sebuah syarikat swasta, seperti dilaporkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Dalam laporan itu, keputusan penjualan tersebut dibuat oleh Kabinet pada 26 November 2021 serta membenarkan KKM melantik MySJ Sdn. Bhd. melalui mekanisme rundingan terus untuk mengambil alih aplikasi MySejahtera.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata pihak kerajaan telah memutuskan bahawa aplikasi MySejahtera adalah hak milik kerajaan dan KKM dilantik sebagai pemilik utama aplikasi tersebut untuk pengurusan kesihatan awam negara.

Selain itu, tambahnya kerajaan tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn. Bhd (KPISOFT), yang telah membangunkan aplikasi MySejahtera sepanjang tempoh penggunaan aplikasi tersebut dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021.

“Perkara ini adalah berdasarkan ketetapan syarikat yang telah menawarkan penggunaaan aplikasi MySejahtera kepada kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran berdasarkan prinsip Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat.

“Setelah tamat tempoh CSR tersebut, kerajaan pada 31 Mac 2021, bersetuju supaya perkhidmatan MySejahtera diteruskan.

Aplikasi MySejahtera diguna pakai kerana keteguhan dan keupayaan dinamik teknologinya

“Sehubungan itu, kerajaan meneruskan kerjasama dengan pihak syarikat dalam melaksanakan peningkatan fungsi MySejahtera sehingga apa yang digunakan pada hari ini,” ujarnya lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat