Insiden tempeleng, penganjur Oscar mula siasatan

- Advertisement -

LOS ANGELES: Penganjur Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94, Academy of Motion Picture Arts and Sciences mengutuk insiden pelakon dan penerbit, Will Smith menempeleng Chris Rock di pentas acara berprestij itu, semalam, dan sudah memulakan siasatan dalaman.

Melalui kenyataan akademi itu, penganjur sudah memulakan proses menilai semula insiden mengejutkan itu dan sedia menimbang tindakan selanjutnya mengikut standard kelakuan dan undang-undang di California, Amerika Syarikat (AS), lapor agensi.

Selain kenyataan media, turut dikepilkan dokumen lima muka surat berhubung standard kelakuan yang memberi petunjuk jenis perlakuan atau perbuatan yang tidak diterima Academy of Motion Picture Arts and Sciences berkaitan penganjuran Anugerah Akademi (Oscar), lapor agensi.

Aksi Smith menampar Rock pada siaran langsung Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) mengejutkan penonton di Dolby Theatre dan seluruh dunia yang menyaksikan acara itu. - Foto AFP
Aksi Smith menampar Rock pada siaran langsung Anugerah Akademi (Oscar) Ke-94 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) mengejutkan penonton di Dolby Theatre dan seluruh dunia yang menyaksikan acara itu. – Foto AFP

 

Antara aksi terbabit termasuk kontak fizikal tanpa diundang atau dalam keadaan yang tidak sesuai dan perhatian seksual secara paksaan. Turut dilarang adalah ugutan, perbuatan mengintai, keganasan, kata-kata kesat atau ancaman dan buli, lapor agensi.

Turut dinyatakan, tindakan disiplin mengikut undang-undang kecil termasuk penggantungan dan pemecatan keahlian akademi.

Semalam, pergeseran Rock dan Smith di pentas Oscar yang menyaksikan Smith melempang pelakon dan pelawak popular itu, mengejutkan penonton di Dolby Theatre, di sini dan seluruh dunia yang menyaksikan siaran langsung acara anugerah berprestij itu.

Ia berlaku ketika Rock yang menjadi penyampai bagi kategori Dokumentari Terbaik, membuat lawak yang kurang disenangi mengenai penampilan isteri Smith, iaitu Jada Pinkett Smith yang berimej botak dengan menyamakannya seperti watak G.I Jane lakonan Demi Moore.

Secara tiba-tiba, Smith yang juga calon Oscar, naik ke pentas lalu melempang Rock yang terkejut dan terpinga-pinga dengan aksi pelakon dan penerbit itu.

Sebaik menampar Rock, Smith kembali ke tempat duduk dan menjerit ke arah Rock meminta agar nama isterinya tidak disebut.

“Oooo! Wow! Will Smith bagi saya penampar,” kata Rock selepas ditampar Smith.

Menuju ke tempat duduknya, Smith dilihat berjalan sampai memberi amaran kepada Rock supaya tidak mempersenda isterinya.

“Jangan nak sebut-sebut nama isteri aku,” katanya.

Difahamkan, pada detik itu, kata-kata Smith ‘dipadamkan’ daripada siaran ulangan.

Namun, ciapan dari Jepun, misalnya, menyatakan penonton di negara matahari terbit itu boleh mendengar butiran yang dilaungkan Smith, lapor agensi.

Sebelum ini, Academy of Motion Picture Arts and Sciences pernah memecat beberapa ahli berkaitan isu gangguan seksual dan rogol. Antara mereka termasuk penerbit filem, Harvey Weinstein pada 2017 dan bintang veteran, Bill Cosby, setahun kemudian.

Sebelum ini, Pinkett mengumumkan terpaksa mencukur rambut dan tampil botak berikutan mengalami masalah keguguran rambut atau alopecia.

Sehingga hari ini, netizen masih memperkatakan mengenai aksi Smith menampar Rock. Pelbagai komen dilayangkan termasuk kritikan terhadap Smith yang dianggap tidak ‘sporting’ dan keterlaluan.

Namun, tidak kurang juga memuji pelakon dan penerbit itu yang bangkit mempertahankan maruah isterinya daripada menjadi mangsa gurauan.

Semalam, Smith yang melakonkan watak Richard Williams, iaitu bapa kepada pemain tenis terkemuka dunia, Serena dan Venus dalam filem King Richard, meraih trofi Pelakon Filem Lelaki Terbaik ketika kontroversi menampar Rock hangat diperkatakan.

Smith menewaskan calon lain termasuk Denzel Washington, Javier Bardem dan Andrew Garfield. AGENSI

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat