Elica pernah putus asa

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pernah tersenarai dalam kelompok tiga peserta corot selama dua minggu, tidak hairanlah, gadis berasal dari Sabah, Elica Paujin melupakan hasrat bergelar juara.

Namun, malam kelmarin, melakar sejarah peribadi yang tidak pernah diduga, Elica diangkat sebagai juara musim keempat program realiti, Big Stage 2022, menewaskan empat peserta lain terutama pencabar terdekat, Danial Chuer dan Aisha Retno.

Elica atau nama sebenar, Angelica Paujin, 22, mengakui pernah putus semangat, namun bangkit untuk memberi persembahan terbaik di pentas konsert akhir.

“Saya sangka Danial atau Aisha yang bergelar juara kerana mereka antara peserta kuat. Apatah lagi, selepas dua minggu berturut-turut saya menduduki kelompok tiga peserta tercorot.

 

 

 

Elica mengaku pernah hampir berputus asa dengan pencapaiannya di pentas Big Stage 2022. Foto IG Elica Paujin
Elica mengaku pernah hampir berputus asa dengan pencapaiannya di pentas Big Stage 2022. Foto IG Elica Paujin

 

“Ini membuatkan mental saya agak terganggu. Niat saya menyertai Big Stage 2022 hanya mahu menimba pengalaman untuk aktif semula dalam industri seni. Sebelum ini, saya hanya aktif di Sabah,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya Big Stage 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, kelmarin.

Dengan kemenangan itu, Elica meraih wang tunai RM100,000 dan trofi. Tempat kedua dimenangi Danial yang juga berasal dari Sabah, manakala Aisha meraih tempat ketiga.

Elica berterima kasih atas sokongan sokongan peminat selama bersaing di pentas Big Stage 2020.

“Saya sangat bersyukur ada penyokong. Secara jujur, melihat markah yang diberi juri profesional membuatkan saya fikir ini kejayaan besar buat saya.

“Selama ini, saya tidak pernah dapat lebih daripada 90 mata. Saya sangat berterima kasih kepada juri kerana banyak memberi ilmu dan pengajaran kepada saya. Pada masa depan, saya lebih bijak dalam membuat persembahan,” katanya.

Pada konsert akhir Big Stage 2022, Elica mendendangkan lagu Cinta yang dipopularkan Marsha Milan, manakala bagi segmen duet, Elica menyanyikan lagu Believer dendangan Imagine Dragon bersama Hael Husaini.

Bercerita mengenai persembahan dengan Hael, Elica tidak sangka penyanyi dan komposer itu sanggup meminjamkan mikrofon peribadinya di pentas akhir itu.

“Hael banyak membantu saya menjayakan persembahan. Dia beri pinjam mikrofon sejak sesi latihan lagi. Saya dapat rasa aura Anugerah Juara Lagu (AJL) apabila menggunakan mikrofon itu.

“Saya sangat berterima kasih kepadanya. Bukan mudah untuk seseorang penyanyi membenarkan orang lain menggunakan mikrofonnya.

“Sebenarnya, saya takut mahu pegang mikrofon itu kerana mahal. Mikrofon itu membantu di mana vokal saya kedengaran lebih jelas,” katanya.

Elica juga tidak menolak untuk bekerjasama dengan Hael yang dikenalinya sejak musim ketujuh program realiti, Mentor Milenia.

“Jauh di sudut hati, saya mahukan lagu ciptaan Hael. Kita semua tahu dia komposer hebat dan bijak,” katanya.

Mengenai wang kemenangan, Elica memberitahu, dia akan berkongsi dengan keluarga, selain mahu membuat persembahan khas buat peminat di Sabah.

“Sejak awal lagi saya sudah berjanji dengan keluarga akan beri separuh daripada wang kemenangan kepada mereka.

“Selain itu, saya mahu anjur ‘showcase’ istimewa buat peminat di Sabah. Mereka tidak dapat datang ke Kuala Lumpur menyaksikan persembahan saya secara langsung,” katanya.

Kejayaan Elica banyak dipengaruhi undian dalam talian, di mana dia mendapat 12.71 peratus undi, diikuti Danial (5.98 peratus) dan Aisha (4.47 peratus).

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat