KEB 2024 bukan ganti DEB tapi nilai semula, baiki kegagalan – Mohamad

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) bukan bertujuan menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebaliknya lebih kepada memperbaiki kelemahan dan kegagalan sebelum ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, objektif utama KEB 2024 adalah menstrukturkan semula penyertaan Bumiputera dalam kek ekonomi.

“Kita tak ganti apa-apa. DEB tetap DEB tapi kongres ini transformasi semula untuk melihat apa kejayaan yang telah kita capai termasuk penubuhan-penubuhan agensi kerajaan daripada KEB siri 1 dan 2 sebelum ini.

“Kongres Ekonomi Bumiputera ini untuk kita ukur semula kejayaan juga menilai di mana kita gagal, apa kelemahan kita apa yang perlu kita baiki.

“Transformasi melalui enam tekad, baiki kelemahan di peringkat pelaksanaan. Kita perbetul semula ekonomi negara,” jelas beliau ketika ditemui media di Putrajaya pada Khamis.

Timbalan Presiden Umno itu, menyatakan bahawa KEB 2024 baik kerana ekonomi dunia sekarang berada dalam keadaan tidak menentu.

“Jadi kita tak boleh hidup dalam keadaan statik. Kita buat kajian-kajian untuk lonjak semula ekonomi negara.

“Kita nak struktur semula penyertaan Bumiputera dalam kek ekonomi yang boleh dibesarkan lagi,” kata Mohamad.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan KEB 2024 ini adalah satu kaedah untuk membesarkan kek ekonomi dan bukannya berpecah-pecah ataupun kecilkan kek ekonomi.

“Dapatlah menstrukturkan semula ekonomi Bumiputera lama yang sedia ada.

“Ada kepincangan-kepincangan dari segi pelaksanaan, kita tidak mahu kepincangan ini berulang semula,” tegasnya.

Jelas Mohamad lagi, hasrat DEB mahupun KEB ialah menstruktur semula masyarakat dengan lebih telus dan lebih terbuka merentasi kaum dan kelompok terutamanya kaum-kaum di Sabah dan Sarawak.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat