Bumiputera akan miliki aset tanah negara menerusi Perbadanan Tanah Bumiputera -Zahid

- Advertisement -

PUTRAJAYA- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan saran Perbadanan Tanah Bumiputera diwujudkan.

Usul itu katanya bertujuan mengekalkan pemilikan tanah Bumiputera yang menjadi asas kepada kestabilan ekonomi dan pemeliharaan identiti kebangsaan.

“Perbadanan Tanah Bumiputera ini bertanggungjawab untuk merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah Bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.

“Adalah disyorkan, semua tanah-tanah berstatus pajakan melebihi 50 ekar bagi kawasan pertanian ataupun plot-plot industri yang melebihi 20 ekar, apabila sampai tempoh tamat pajakan dan dipohon untuk penyambungan, 20 peratus daripada tanah berkenaan hendaklah diserahkan semula kepada kerajaan dan diurus tadbir melalui perbadanan ini,” kata Zahid dalam ucaptama Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) pada Khamis.

Zahid menjelaskan, penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera merupakan langkah proaktif
untuk menjamin keseimbangan demografi kaum; mewujudkan kelangsungan kawasan usaha Bumiputera bagi tujuan pertanian, perindustrian dan penempatan baharu; dan usaha tambahan mengekalkan pemilikan Bumiputera.

“Langkah ini saya percaya dapat memberi pulangan dan peluang yang lebih besar kepada Bumiputera untuk memiliki sebahagian daripada aset tanah negara.

“Melalui perancangan teliti dan strategik, setiap kawasan usaha diharapkan memberi manfaat maksimum kepada komuniti Bumiputera, mencipta kelestarian ekonomi yang berterusan,” ujar beliau.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah juga mengemukakan syor untuk mengindustrikan pertanian adalah bertujuan untuk melibatkan Bumiputera dalam sektor pertanian tanaman makanan yang berskala besar, serta dapat menjamin pengeluaran sumber makanan negara.

“Saya mengambil contoh kejayaan FELDA dan FELCRA dalam membangun dan memajukan pertanian tanaman komoditi, yang telah menjadikan negara kita antara pengeksport kelapa sawit dan getah terbesar dunia.

“Kita sedar sebahagian masyarakat Bumiputera tidak mempunyai tanah yang begitu besar, keluasannya juga mungkin tidak ekonomikal di samping kekangan kewangan untuk mengusahakannya.

“Namun, sekiranya tanah- tanah ini dapat disatukan dan dibangunkan secara skala besar, pastinya
setiap pemilik tanah dapat memperolehi manfaat yang berterusan disamping membantu meningkatkan sosio-ekonomi setempat.

“Bagi menjayakannya, saya mencadangkan penubuhan sebuah entiti yang dapat memainkan peranan untuk mendana-i dan membangunkan tanah- tanah Bumiputera atau tanah-tanah berkelompok milik Bumiputera yang
berpotensi untuk diusahakan dengan tanaman makanan,” jelas beliau.

Melalui ikhtiar ini, Zahid berkata, kita juga perlu menggunakan teknologi dan inovasi baharu
bagi meningkatkan hasil tanaman.

“Pastinya pengaplikasian teknologi moden
dalam pertanian memerlukan kos dan pendanaan yang tinggi bagi menjayakannya.

“Dengan wujudnya sebuah entiti yang memberi tumpuan khusus kepada sektor ini, usaha pendanaan, kajian dan inovasi dapat dilakukan secara berstruktur untuk meningkatkan pengeluaran hasil.

“Pengeluaran hasil berskala besar dan penggunaan teknologi, membolehkan penghasilan kepelbagaian produk hiliran pertanian yang mempunyai nilai
tambah dan boleh dipasarkan secara komersial serta membawa keuntungan yang berganda.

“Saya percaya, melalui pendekatan yang sama, dalam tempoh beberapa tahun ke hadapan, pengeluaran hasil pertanian makanan dalam negara akan dapat menampung keperluan domestik selaras dengan usaha keterjaminan makanan.

“Malah kita juga berupaya menjadi negara pengeksport hasil pertanian sepertimana hasil komoditi kelapa sawit dan getah,” kata Zahid.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat