Malaysia tak halang rakyat Iran buka akaun bank, hanya perbankan asas saja untuk pelanggan berisiko tinggi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia tidak mengenakan halangan terhadap mana-mana individu atau entiti, termasuklah dari Iran, untuk membuka akaun bank.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis yang disiarkan laman sesawang Parlimen memaklumkan, pelaksanaan perkara ini adalah tertakluk kepada pertimbangan sewajarnya oleh institusi kewangan di Malaysia, yang perlu mengimbangi keperluan pematuhan dengan usaha berterusan untuk memudah cara perkhidmatan kewangan kepada individu dan entiti yang sah serta tidak tertakluk kepada sebarang sekatan antarabangsa.

“Untuk makluman, Malaysia tertakluk kepada keperluan mematuhi sekatan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah akta-akta yang berkaitan dan piawaian antarabangsa oleh Pasukan Petugas Tindakan
Kewangan (Financial Action Task Force, FATF).

“Dalam hal ini, institusi kewangan perlu menjalankan saringan sekatan (sanctions screening) ke atas semua pelanggannya, termasuklah dari negara Iran.

“Sebarang transaksi yang dibuat dengan individu atau entiti yang disekat atau percubaan untuk mengelak sekatan boleh mengakibatkan impak ketidakpatuhan ke atas Malaysia,” kata MOF.

Di samping itu, jelas MOF lagi Bank Negara Malaysia (BNM) melalui dokumen dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan
Pembiayaan Keganasan, Pencegahan Pembiayaan Percambahan dan Sekatan Kewangan Bersasar (AML/CFT/CPF dan TFS) menetapkan langkah-langkah pencegahan berasaskan risiko, antara lain, usaha wajar pelanggan (Customer Due Diligence, CDD) dan pemprofilan risiko apabila berurusan dengan mana-mana pelanggan, termasuklah dari negara Iran.

“Dalam proses ini, sebarang keputusan yang dibuat oleh institusi kewangan berhubung urusan perbankan dan penawaran produk kepada mana-mana pelanggan adalah berdasarkan penilaian institusi kewangan tersebut dengan mengambil kira penilaian risiko dan juga polisi dalaman institusi terlibat.

“Secara umum, bagi menangani isu akses perbankan kepada pelanggan berisiko tinggi, beberapa institusi kewangan juga menawarkan kemudahan perbankan asas sebagai langkah pengurusan risiko.

“Melalui kemudahan ini, pelanggan berisiko tinggi hanya dibenarkan untuk melakukan transaksi yang tertentu, seperti transaksi domestik dalam Ringgit Malaysia dan transaksi secara bersemuka (over-the-counter) sahaja,” jelas kementerian itu lagi.

Sementara itu MOF menyatakan, kerajaan kekal komited dalam melaksanakan polisi yang adil dan telus, selari dengan piawaian antarabangsa.

“Jika terdapat mana-mana individu atau entiti yang berhadapan dengan kes penolakan untuk membuka akaun, mereka boleh mengemukakan aduan kepada Unit Aduan institusi kewangan berkenaan.

“Sekiranya mereka tidak bersetuju dengan maklum balas atau tindakan yang diambil terhadap aduan tersebut, mereka boleh merujuk kepada
Pusat Khidmat Pelanggan, Laman Informasi Nasihat dan Khidmat Bank Negara Malaysia (BNMLINK),” ujarnya.

MOF berkata demikian menjawab Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan pendirian terkini kerajaan terhadap rakyat Iran yang datang keMalaysia sama ada sebagai pelajar, pelabur atau pekerja untuk dibenarkan untuk membuka akaun bank di Malaysia.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat