KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi mengingatkan DAP bahawa impian mereka untuk mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak akan tercapai selagi mana Umno berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurut Puad, idea yang dicadang pemimpin DAP itu sebagai mengarut.
“Mengarutlah. Seorang pemimpin dari DAP mencadangkan diadakan pilihan raya untuk memilih Datuk Bandar Kuala Lumpur. Tujuannya akauntabiliti.
“Akauntabiliti kepada siapa? Kepada rakyat atau kepada partinya? Kalau dibenarkan maka jawatan itu akan dipolitikkan. Perkauman berleluasa.
“Datuk Bandar dicucuk hidung oleh partinya. Pentadbiran akan tambah kucar kacir.
“Umno sudah pasti akan membantah seperti mana Umno membantah pilihan raya PBT. Selagi Umno ada dalam kerajaan perpaduan jangan mimpi cadangan itu akan berlaku,” tegas Puad.
Menurut Speaker DUN Johor itu, idea reformasi institusi yang dibawa oleh DAP makin mengarut.
“Lebih baik reform cara memilih pemimpin dalam DAP. Dipilih oleh kelompok kecil sesama mereka sahaja,” bidas beliau.
Semalam SuaraTV melaporkan, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Parlimen Bukit Bintang Ben Fong Kok Seng berharap pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur dapat diperkenalkan sebagai langkah awal memperkukuh akauntabiliti pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelang sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026.
Ben Fong, yang juga Bendahari Jawatankuasa DAP Kuala Lumpur bagi penggal 2024–2027, menegaskan bahawa penduduk ibu negara masih tidak diberi peluang untuk menentukan individu yang mengetuai pentadbiran bandar raya walaupun mereka membayar cukai dan terkesan secara langsung dengan dasar DBKL.



