PETALING JAYA: Malaysia akan memulakan usaha membangunkan semula Gaza dengan membina sekolah, hospital, dan masjid dalam satu inisiatif kerjasama dengan kerajaan Jepun, umum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Beliau berkata, projek ini akan dilaksanakan dengan sokongan sektor swasta serta rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib penduduk Gaza.
“Ia sebagai usaha kita, pengorbanan masyarakat dan rakyat. Mudah-mudahan ALLAH memelihara kita dan menjamin keselamatan Gaza dan Palestin,,” kata Anwar dalam satu rakaman video yang disiarkan hari ini.
Menurut beliau, Malaysia dan Jepun juga bekerjasama untuk menubuhkan satu dana khas di bawah Kerangka Kerjasama Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (Ceapad) bagi mempercepatkan proses pembinaan semula Gaza yang musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023.
“Hasil usaha kerajaan serta menteri luar negeri (Datuk Seri Mohamad Hasan), kita telah memperoleh pengesahan untuk mempercepatkan pelaksanaan program ini,” tambah Anwar.
Inisiatif Jepun untuk membantu pemulihan Gaza telah dibincangkan ketika lawatan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, ke Malaysia awal bulan ini.
Pada 18 Januari lalu, Anwar menyatakan bahawa kos pembinaan semula Gaza dianggarkan melebihi AS$1 trilion berikutan kemusnahan besar yang dialami akibat konflik yang berterusan.
Ceapad, yang diperkenalkan oleh Jepun pada tahun 2013, bertujuan menyokong pembangunan negara Palestin dengan memanfaatkan sumber, pengetahuan, dan pengalaman negara-negara Asia Timur.