BANGKOK – Lawatan rasmi Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Thailand dari 28 hingga 30 Januari 2025 dilihat telah memperkukuh hubungan pertahanan antara kedua-dua negara yang sedia terjalin baik selama ini.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, lawatan Mohamed Khaled ini antaranya bertujuan menghadiri Mesyuarat ke-56 Jawatankuasa Sempadan Am (GBC MALTHAI) yang berlangsung pada 29 Januari 2025.
Semasa mesyuarat tersebut, kedua-dua negara menzahirkan kepuasan terhadap kemajuan yang dicapai, khususnya dalam aspek kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Tentera Diraja Thailand dalam menangani cabaran keselamatan di sempadan.
GBC MALTHAI merupakan platform utama dalam menguruskan kerjasama persempadanan antara Malaysia dan Thailand sejak penubuhannya pada tahun 1964.
Sebelum mesyuarat berlangsung, Mohamed Khaled turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Thailand, TYT Phumtham Wechayachai.
Perbincangan mereka menekankan usaha memperkukuh hubungan pertahanan, kestabilan serantau, dan mempertingkat mekanisme keselamatan di peringkat dua hala dan pelbagai hala.
Sebagai sebahagian daripada kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025, Menteri Pertahanan turut menjemput TYT Phumtham Wechayachai untuk menyertai Sesi Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) di Pulau Pinang pada Februari depan, selain ADMM dan ADMM Plus yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada November 2025.
Turut mengiringi delegasi Malaysia adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad bin Ab Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali, serta pegawai tertinggi dari pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan negara.
Kementerian Pertahanan menyifatkan lawatan ini mencerminkan hubungan strategik yang erat antara Malaysia dan Thailand dalam pengurusan sempadan, serta komitmen kedua-dua negara dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.