KUALA LUMPUR – Lima jalan di ibu kota akan ditutup secara berperingkat bermula jam 9.30 pagi Rabu ini sempena Istiadat Keberangkatan Tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Iskandar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata laluan yang ditutup ialah Jalan Sultan Abdul Halim, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak, Jalan Damansara dan Jalan Travers.
“Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang juga akan melalui Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE); Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Sultan Abdul Halim,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, pada Isnin.
Beliau berkata, semua laluan berkenaan akan ditutup sementara dan dibuka semula secara berperingkat selepas selesai istiadat.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak melalui jalan terbabit dengan penutupan penuh bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan mengikuti arahan anggota polis trafik yang bertugas di lokasi,” katanya.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan esok.
Baginda akan mula bersemayam di Istana Negara mulai esok bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun.