CYBERJAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan bahawa bekalan daging negara berada pada tahap mencukupi sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, termasuk ketika permintaan tinggi pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Menurut beliau, persiapan awal bagi memastikan kecukupan bekalan daging bagi tahun hadapan telah pun dimulakan, khususnya menjelang Ramadan yang dijangka disambut pada Februari 2026 serta Aidilfitri pada penghujung Mac 2026.
“Penternak-penternak tempatan telah membuat perancangan dari sekarang bagi memastikan bekalan daging mencukupi untuk keperluan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, dengan perancangan awal, kerjasama erat antara kerajaan dan penternak serta sokongan dasar yang tepat, bekalan daging negara akan terus terjamin bagi tahun hadapan.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan komited untuk menjaga keperluan asas rakyat dan memastikan keselamatan makanan negara sentiasa berada pada tahap yang stabil dan mencukupi.
“Insya-Allah, keperluan asas rakyat akan kita jaga dan keselamatan makanan negara akan terus dipelihara,” katanya.



