Adun dari Bersatu, Abu Bakar Hamzah angkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-12

ARAU,— Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu dalam satu istiadat di Istana Arau, di sini, hari ini.

Abu Bakar mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perlis ke-12 pada jam 4.08 petang selepas diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Pelantikan itu menyaksikan Abu Bakar, yang juga Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, menjadi Menteri Besar pertama daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perlis.

Beliau turut memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis merangkap Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Perlis.

Pelantikan berkenaan berlaku susulan kemelut politik PN di negeri itu yang menyaksikan Menteri Besar Perlis sebelum ini, Mohd Shukri Ramli, meletakkan jawatan.

Krisis tersebut turut melibatkan tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri PAS menarik sokongan terhadap Mohd Shukri, sebelum keahlian mereka dalam PAS diberhentikan.

Implikasi daripada perkembangan itu menyaksikan Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Rus’ele Eizan, mengarahkan tiga kerusi DUN iaitu Bintong, Chuping dan Guar Sanji dikosongkan bagi membolehkan permohonan Pilihan Raya Kecil dikemukakan.

Majlis angkat sumpah hari ini turut dihadiri Mohd Shukri Ramli, semua Ahli Dewan Undangan Negeri Perikatan Nasional serta Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Harapan bagi DUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad tidak dapat hadir kerana berada di luar Perlis atas urusan peribadi.

Tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri PAS yang keahliannya digugurkan sebelum ini iaitu Mohd Ridzuan Hashim, Fakhrul Anwar Ismail dan Saad Seman, tidak dijemput menghadiri majlis berkenaan.

Turut hadir ialah Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail, Speaker DUN Rus’ele Eizan serta Ketua Polis Perlis, Datuk Mohammad Abdul Halim.

Pelantikan Abu Bakar sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu menandakan fasa baharu pentadbiran negeri selepas beberapa minggu ketidaktentuan politik, dengan tumpuan kini beralih kepada pembentukan barisan kepimpinan dan usaha memulihkan kestabilan pentadbiran di Perlis.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat