KUALA LUMPUR, — Pendakwah bebas, Firdaus Wong, mempersoalkan sama ada Dr Lukman akan dilantik sebagai Penasihat Syariah Atomy sekiranya beliau tidak memegang sebarang jawatan atau kedudukan berkaitan agama Islam.
Pertanyaan itu dibangkitkan susulan kenyataan Dr Lukman yang mempertahankan kedudukannya sebagai Penasihat Syariah Atomy, sambil menegaskan bahawa peranan tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kedudukannya dalam Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.
Menurut Firdaus Wong, persoalan berkenaan timbul kerana pelantikan Dr Lukman sebagai Penasihat Syariah Atomy tidak boleh dipisahkan daripada latar belakang dan kedudukan beliau sebagai ahli akademik dalam bidang syariah serta penglibatan dalam institusi fatwa negeri, yang menurutnya memberi legitimasi dan kredibiliti kepada syarikat berkenaan.
Firdaus Wong turut mempersoalkan dakwaan bahawa keterangan yang diberikan oleh Dr Lukman di mahkamah sebelum ini hanya mencerminkan kapasiti beliau sebagai Penasihat Syariah Atomy, dan tidak mencerminkan kedudukannya sebagai pensyarah serta anggota institusi fatwa.
Beliau menegaskan bahawa kedudukan seseorang dalam institusi agama dan akademik tidak boleh dipisahkan secara mutlak daripada kenyataan atau pendirian yang diambil secara terbuka, khususnya apabila ia melibatkan syarikat yang sedang dipertikaikan dari sudut akidah dan kepentingan umat Islam.
Isu ini tercetus dalam konteks kritikan berpanjangan terhadap Atomy, sebuah syarikat pemasaran berbilang tingkat dari Korea Selatan yang sebelum ini dikaitkan dengan rangkaian dan latar ideologi kultus Kristian, khususnya melalui hubungan sejarah pengasas dan entiti berkaitan yang sering diperdebatkan oleh pendakwah dan pengkaji agama.
Kontroversi berkenaan turut dikaitkan dengan Pandangan Hukum Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bertarikh 26 Ogos 2022 yang melarang penglibatan umat Islam dalam aktiviti urus niaga dan promosi Atomy atau mana-mana perniagaan seumpamanya yang menyumbang kepada gerakan anti-Islam. -SuaraTV



