Selepas Adun Bersatu jadi MB Perlis, Sanusi ajak UMNO

SIK, — PAS mengajak ahli dan penyokong UMNO supaya mengekalkan semangat Muafakat Nasional (MN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), khususnya dengan kembali bekerjasama demi perpaduan ummah dan kestabilan politik negara.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PAS sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana ahli UMNO yang mahu bersama perjuangan parti itu, walaupun mereka masih berorganisasi dalam UMNO.

“Kita ajak kawan-kawan kita dalam UMNO. Kita alu-alukan orang UMNO yang mahu bersama kita dalam PAS. Walaupun mereka masih dalam UMNO, berorganisasi dalam UMNO dan ketua mereka pemimpin UMNO, kita percaya khususnya orang UMNO di Sik yang celik dan cerdik akan tahu siapa yang hendak diundi.

“Dalam PRU16 nanti, saya yakin mereka akan bersama PAS,” katanya ketika berucap di Sik.

Sanusi yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Sik serta Pengerusi Perikatan Nasional Kedah berkata, beliau berharap ahli-ahli PAS dan UMNO khususnya di Sik dapat terus saling menghormati, bersatu padu dan bergaul seperti semangat MN yang pernah terjalin sebelum ini.

“Masa MN dulu, kenduri rumah orang UMNO, orang PAS yang sampai awal walaupun kenduri itu kenduri UMNO. Kita jadi kawan macam adik-beradik ketika itu. Suasana itu boleh diwujudkan kembali.

“Kita sekampung, diibaratkan adik-beradik. Kita harap perkara itu berkekalan kerana kita semua satu akidah, satu kiblat dan satu kariah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan PAS bersama Islam akan diteruskan sehingga akhir hayat, sama ada dalam kehidupan seharian mahupun dalam urusan siasah, pentadbiran dan pemerintahan negara.

Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah turut menegaskan bahawa PAS tidak mengamalkan diskriminasi atau pilih kasih dalam bekerjasama dengan mana-mana pihak.

“Kita tidak pilih bulu. Kita beri layanan yang sama dan adil kepada semua parti. Saya ajak semua ahli PAS terus bekerja kuat untuk memenangkan PRU16,” katanya.

Kenyataan Sanusi itu dimuat naik di media sosial Perhubungan PAS Kedah kira-kira sejam selepas Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu di Istana Arau, menggantikan Mohd Shukri Ramli daripada PAS yang meletakkan jawatan.

Perkongsian kenyataan tersebut mencetuskan persoalan dalam kalangan pemerhati politik sama ada PAS sedang memberi isyarat untuk menjauhkan diri daripada Bersatu susulan kemelut politik yang melanda Perlis, walaupun kedua-dua parti masih berada dalam gabungan Perikatan Nasional.

Kemelut politik di Perlis tercetus selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Mohd Shukri, yang akhirnya membawa kepada peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar. Krisis itu turut menyaksikan tiga ADUN PAS dari Bintong, Chuping dan Guar Sanji digugurkan keahlian parti selepas terbabit dalam penarikan sokongan berkenaan.

Situasi tersebut membuka laluan kepada pelantikan Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu sebagai Menteri Besar Perlis, sekali gus menjadikan beliau Menteri Besar pertama daripada Bersatu di negeri itu, meskipun PAS sebelum ini menjadi tunjang utama pentadbiran kerajaan negeri Perlis.

Dalam konteks itu, gesaan Sanusi supaya semangat Muafakat Nasional dihidupkan semula dilihat berlaku pada waktu yang sensitif, apabila hubungan dalaman Perikatan Nasional di Perlis sedang diuji, dan perbincangan mengenai hala tuju kerjasama politik menjelang PRU16 kembali menjadi tumpuan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat