KOTA KINABALU – Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah menasihatkan orang Sabah supaya tidak terpedaya dengan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN).
Adun Jitra itu menegaskan, momokan mereka kononya Sabah akan lebih baik jika kerajaan negeri sealiran dengan kerajaan Pusat, Itu semua hanya retorik DAN bohong.
Haim mendakwa, sebenarnya lebih kepada untuk memudahkan pemimpin korup di Sabah dan Semenanjung merompak hasil bumi dan hak rakyat Sabah.
“Orang Sabah jangan terpedaya dengan janji manis PH-BN kerana kalian sendiri tahu bahawa semua itu bohong. Sabah sudah bepuluh tahun bawah BN tetapi masih jauh ketinggalan dari aspek pembangunan, pendidikan, kesihatan, ekonomi berbanding Semenanjung.
” Orang Sabah untuk kali ini jadilah seperti kami di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis. Berani berubah. Jangan gentar walau diugut. Malahan kami di Kedah walaupun negeri kecil, simpanan perbendaharaan kami terus meningkat. Jauh lebih tinggi dari jumlah ketika kami diperintah oleh BN yang pada ketika itu sealiran dengan Pusat.
“Orang Sabah ketahuilah hari ini kami di Kedah lebih bebas bersuara dan bahagia. Kami tidak dikongkong oleh Pusat seperti dahulu. Kami professional yang mana hak kami, kami perjuangkan semahu kami. Kami bangunkan negeri kami ikut acuan kami. Sumber bumi kami, kami urus sendiri.
“Sabah perlu bangkit. Jika tidak sejarah hitam seperti hak Sabah atas petroleum yang terus ‘dirompak’ hingga ke hari ini akan terus berulang,” ujar beliau dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Haim lagi, “orang Sabah ketahuilah bahawa kini kami di Kedah berjuang untuk mengembalikan maruah Pulau Pinang iaitu menjadikannya tanah berhak milik mutlak Kedah”.
“Kami tidak gusar dengan tohmahan dan sindiran sesetengah pihak kerana kami tidak akan membenarkan hak kami ‘dirompak’ oleh sesiapa.
“Orang Sabah percayalah bahawasanya pemimpin Kedah tidak akan berani bersuara untuk perkara sebesar itu jika parti kerajaan negeri sealiran dengan kerajaan Pusat.
“Orang Sabah jangan takut berdiri di atas kaki sendiri. Uruskan hasil bumi kalian sendiri. Tuntut hak kalian seperti termaktub dalam MA63 tanpa rasa bimbang. Kerana kalian Sabah dan suara kalian tidak boleh diketepikan begitu sahaja oleh kerajaan Pusat ataupun sesiapa,” seru beliau lagi.
Haim juga menasihatkan orang Sabah supaya tidak membiarkan pemimpin-pemimpin korup yang takut akan kejahatan mereka didedahkan oleh kerajaan Pusat menjadi pemimpin kalian.
“Percayalah, mereka sanggup ‘menjual’ Sabah demi keselamatan, kemewahan dan apa sahaja untuk diri dan keluarga mereka serta orang-orang mereka.
“Orang Sabah jangan lupa PH- BN berlawan di Sabah tetapi di Semenanjung mereka satu pasukan dalam Kerajaan Madani. Jelas sekali mereka tiada prinsip dan falsafah perjuangan. Adakah kalian masih percaya dengan mereka?
“Orang Sabah esok kalian memilih. Buatlah pilihan yang terbaik. Tunjukkan pada Semenanjung bahawa kalianlah reformis sebenar Sabah dan pencetus kebangkitan Malaysia yang bersih, adil dan berjaya, Insya-Allah.
“Untuk itu pilihlah PN. Jika Sabah berubah, Malaysia kembali bermaruah,” seru beliau lagi.



