Bersihkan struktur pentadbiran PMO, parti – Mahasiswa UMS tuntut RCI anggap SPRM tak cukup bebas

KOTA KINABALU- Suara Mahasiswa UMS menuntut penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan rasuah mengaitkan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Ini termasuk dakwaan penglibatan Pejabat Perdana Menteri (PMO), sumber rakaman dan operasi “green light” bahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak cukup bebas dalam kes ini kerana turut disebut dalam video berkenaan.

Presiden Suara Mahasiswa UMS, Sudirman Arshad dalam kenyataan pada Jumaat mendesak, pembersihan struktur pentadbiran PMO dan parti.

Katanya, jika siasatan mendapati wujudnya operasi politik luar batasan, justeru tindakan mesti diambil tanpa kompromi.

“Suara Mahasiswa UMS memandang serius perkembangan mutakhir melibatkan pendedahan video berkenaan dakwaan rasuah membabitkan Shamsul Iskandar serta tuduhan bahawa operasi tersebut mendapat “green light” daripada Perdana Menteri melalui PMO. Walaupun siasatan rasmi masih berjalan, isu ini telah mencetuskan krisis legitimasi dan integriti yang tidak boleh dipandang ringan.

“Kami menegaskan Sabah bukannya gelanggang eksperimen sesiapa. Sabah bukannya “political playground” untuk taktik gelap mana-mana pihak. Sabah adalah negeri yang merdeka, berdaulat dan rakan setara dalam Persekutuan Malaysia.

“Sejarah Sabah sudah terlalu lama dipenuhi dengan episod manipulasi politik, lompat parti, operasi sulit, pembelian sokongan, dan permainan kuasa oleh pihak luar.

“Jika benar operasi ini dijalankan dengan restu mana-mana tokoh tertinggi kerajaan Pusat, ia bermaksud Sabah sekali lagi diperlakukan sebagai tanah kosong yang bebas dipijak, bukan sebagai negeri yang mempunyai martabat politik sendiri,” katanya.

Menurut Sudirman lagi, Suara Mahasiswa UMS mereka menolak keras budaya politik kotor yang menormalisasi korupsi, penyalahgunaan kuasa, dan eksploitasi politik terhadap negeri ini.

“Ketika mahasiswa dan rakyat bawahan dikenakan tindakan ditahan, disiasat, didakwa kerana mempertahankan hak rakyat, elit politik terus terlepas daripada beban moral dan kebertanggungjawaban.

“Sebarang percubaan untuk memanipulasi PRN Sabah melalui operasi terselindung atau skandal politik adalah perbuatan menghina maruah rakyat Sabah,” tegas beliau lagi.

Sudirman turut menuntut, moratorium terhadap penahanan aktivis dan mahasiswa.

Katanya, jika elit dibenarkan diberi ruang pembelaan, anak muda juga patut diberi hak bersuara tanpa ancaman.

Selain itu, Suara Mahasiswa UMS juga menuntut komitmen semula terhadap MA63 dan 40 peratus hasil Sabah.

“Kerajaan perlu membuktikan keikhlasan dalam pembaharuan, bukan mengalih perhatian rakyat melalui drama politik.

“Jika isu ini dibiarkan tergantung, tidak dijawab, dan tidak disiasat secara bebas, Suara Mahasiswa UMS tidak teragak-agak untuk menggerakkan aksi demonstrasi aman Gempur Rasuah Sabah 3.0 bagi menuntut keadilan, ketelusan dan integriti politik Sabah.

“Gerakan mahasiswa Sabah sudah matang, sejarah kami adalah sejarah melawan ketidakadilan, kami memang tidak punya nama atau kekayaan tapi kami punya keberanian, matlamat dan cita-cita.

“Sabah berhak dihormati. Sabah berhak dilindungi. Sabah berhak bebas daripada segala manipulasi politik. Kami tidak akan mendiamkan diri,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat