Rakyat harap nyawa diselamatkan tapi Kelantan cadang banjir jadi produk pelancongan – Asyraf Wajdi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Hasrat Kerajaan Kelantan mempromosikan musim banjir sebagai produk pelancongan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu dianggap sebagai dangkal, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Tegas beliau, rakyat ketika ini mendambakan pertolongan kerajaan negeri dan Persekutuan agar bekerjasama menyelamatkan nyawa mereka dan membantu menghadapi musibah banjir yang makin kritikal.

“Maaf saya tidak setuju cadangan Exco Kerajaan Pas Kelantan menjadikan banjir sebagai produk pelancongan.

“Banjir adalah musibah yang perlu ditangani dengan baik, holistik dan berkesan kerana melibatkan keselamatan, nyawa dan kerugian harta benda, tanam-tanaman milik rakyat.

“Semalam sahaja di Pasir Puteh seorang lelaki menjadi korban bencana dan musibah ini. Carilah idea lain untuk memajukan pelancongan Kelantan. Banyak lagi waktu lain untuk difokuskan untuk pelancongan.

“Ketika ini rakyat mendambakan pertolongan kerajaan negeri dan Pusat agar bergandingan menyelamatkan nyawa mereka dan membantu mereka menghadapi musibah banjir yang makin kritikal,” tempelak Asyraf dalam hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Menurut Pengerusi MARA itu lagi, sehingga tengah hari sudah 37,000 mangsa banjir diberitakan sudah dipindahkan.

“Angkanya makin meningkat hinggakan pihak Ketua Jajahan Tumpat sendiri meminta bantuan saya untuk membenarkan MRSM Tumpat juga digunakan bagi tujuan tujuan penempatan mangsa banjir yang amat tinggi luar biasa pada kali ini,” ujar beliau.

Asyraf berkata demikian sebagai reaksi kepada pengumuman Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan Datuk Kamarudin Md Noor yang menyatakan hasrat menjadikan banjir sebagai salah satu produk pelancongan sekali gus menjana ekonomi peniaga dan pengusaha hotel di negeri itu.

Menurut Kamarudin, usaha itu akan direncana memandangkan Kelantan ‘sepi’ tanpa kehadiran pelancong bila tiba musim tengkujuh.

“Kerajaan Kelantan berhasrat jadikan banjir yang melanda negeri itu saban tahun sebagai salah produk pelancongan —ini sebagai percubaan mempromosi musim tengkujuh untuk menarik kehadiran pelancong.

“Tapi kena ada acara, jadi kita telah rancang untuk adakan acara meluncur ombak (surfing) di Pantai Kemayan, Bachok pada pertengahan Disember ini.

“Selain musim tengkujuh sebagai produk pelancongan, kita juga akan mempromosikan makanan musim tengkujuh.

“Saya harap inisiatif dapat bantu peniaga dan pengusaha hotel menjana pendapatan ketika Monsun Timur Laut (MTL),” kata Pengerusi Bersatu Kelantan itu lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat