Yayasan Bank Rakyat bantu mangsa banjir di ibu negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR– Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM50,000 kepada 250 keluarga di kawasan terjejas akibat banjir kilat di sekitar ibu negara yang berlaku pada 17 November lalu.

Peruntukan ini merangkumi keseluruhan keluarga yang mendiami penempatan di sekitar Kampung Baru, Taman Maluri dan Keramat.

Pengurus Besar YBR, Mohd Fauzi Md Fadzil berkata, bantuan sebanyak RM200 disumbangkan kepada setiap keluarga yang telah terkesan daripada musibah dan berdepan kemusnahan serta kerosakan harta benda.

Menurut beliau, rata-rata keluarga yang terkesan memerlukan sumbangan keperluan asas dan pelbagai bantuan lain bagi kelangsungan hidup.

Hari ini di Dewan Kampung Paya telah berlangsung satu sesi penyerahan bantuan mangsa banjir yang telah disempurnakan oleh Pengerusi YBR, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin.

Sementera itu, Nazir Hussin berkata, bantuan ini dilihat sebagai satu aktiviti kemasyarakatan seiring dengan matlamat kerajaan dalam memfokuskan kesejahteraan rakyat serta prihatin bagi meringankan beban yang ditanggung terutamanya mereka yang ditimpa bencana.

Sebelum ini katanya, YBR pernah menyalurkan bantuan kepada 450 keluarga dari penduduk di Hulu Langat yang terjejas akibat bencana banjir.

“Inisiatif sebegini merupakan medium terbaik bagi pihak YBR untuk tampil mendekati masyarakat serta mengeratkan ukhwah silaturrahim dikalangan masyarakat setempat,” katanya.

Ujar beliau, diharapkan melalui bantuan yang disalurkan kepada mereka ini dapat membantu mangsa dalam mengharungi saat-saat sukar ditambah pula dengan lanjutan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan kepada seluruh negeri di semenanjung Malaysia kecuali negeri Perlis, Johor, Melaka dan Pahang sehingga 4 Disember 2020. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat