Ketua Armada Bangga Pencapaian Bersatu Lahir Dua PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkongsi rasa gembira dan bangga dengan kejayaan Bersatu melahirkan dua Perdana Menteri walaupun parti itu baru berusia setahun jagung.

Berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ketiga, Wan Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata pencapaian itu adalah hasil dari kepimpinan berkarisma Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jika bertempur di medan juang, dialah panglimanya. Jika dilambung ombak di lautan, dialah nakhodanya.

“Di bawah karisma kepimpinannya, parti kita yang baru setahun jagung ini berjaya memecahkan monopoli dan melahirkan dua perdana menteri.

“Tidak lain dan tidak bukan (beliau ialah) yang amat berhormat Tan Sri Datuk Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, presiden kita!” katanya, sambil disambut tepukan ahli Bersatu.

Parti serpihan UMNO itu ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 8 September 2016 susulan pertelingkahannya dengan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri ke-7 selepas Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai Bersatu menang Pilihan Raya Ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun selepas 22 bulan memerintah, kerajaan PH tumbang berikutan tindakan Dr Mahathir meletakkan jawatan PM secara tiba-tiba pada Februari tahun ini.

Muhyiddin kemudiannya dilantik sebagai PM ke-8 dengan sokongan UMNO, BN, PAS, GPS serta beberapa lagi parti lain.

Manakala Dr Mahathir dan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat keahlian telah bertindak menubuhkan parti serpihan baru dikenali dengan nama Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air).

Dalam pada itu, bekas Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula turut menubuhkan satu lagi parti serpihan iaitu parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang kini dalam proses pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat