KUALA LUMPUR – Bekas ketua setiausaha sulit kepada Tan Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad mendedahkan gerakan untuk menjatuhkan Muhyiddin sebenarnya sudah bermula agak lama.
Bahkan kata Marzuki, sebaik sahaja beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2021, beliau perhatikan ada perubahan sikap yang ketara dalam kalangan beberapa pemimpin kanan parti.
“Mereka telah mula menjauhkan diri daripada Presiden Bersatu itu. Arahan-arahan beliau tidak diambil serius malah mesej-mesej yang dihantar ke telefon berhari-hari tidak dijawab.
“Malah, seorang pemimpin sayap muda parti yang boleh dikatakan “anak emas” Muhyiddin, mula bercakap secara terang-terangan Tan Sri Muhyiddin tidak lagi relevan.
“Maklumlah, walaupun sebagai Ketua Parti, beliau tidak berjawatan di dalam Kabinet. Sedangkan yang lain-lain itu Menteri dengan kuasa dan pengaruh yang besar.
“Susah juga sebenarnya apabila menjadi Ketua Parti yang tiada jawatan dalam kerajaan. Ketua dipandang sebelah mata,” bongkar Marzuki dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Justeru kata beliau lagi, melihat keadaan ini, pada suatu petang sebelum PRU 15 Marzuki memaklumkan beliau bersembang santai dengan Muhyiddin.
“Saya kata kepada beliau, “Tan Sri tak terfikir ke nak bersara?” Saya katakan begitu sebab saya melihat kesukaran yang beliau hadapi dalam memimpin parti.
“Sudahlah beberapa orang kanan parti tidak hormat kepada beliau lagi, parti tiada wang dan Pas juga pada masa itu masih belum memutuskan sama ada hendak bekerjasama dengan Bersatu atau dengan Umno.
“Saya beritahu beliau kalau Pas memilih untuk bekerjasama dengan Umno, maka Bersatu dan PN mungkin berkubur dalam PRU-15.
“Beliau jawab dengan tenang kepada saya. Beliau kata kalau memikirkan tentang dirinya, sudah lama beliau berhenti. Itu pilihan yang paling mudah untuk beliau dan paling disukai oleh ahli keluarganya.
“Tetapi sebagai Ketua Parti beliau ada tanggungjawab. Takkan beliau nak berundur tatkala bala tenteranya sedang menghadapi perang. Itu akan memberikan kekalahan moral kepada PN sebelum turun berjuang di medan pilihan raya umum.
“Akhirnya kami cakap buang sajalah pada petang itu. Kami menyimpulkan walau susah macamana pun, “Let’s give GE15 our last hurrah”. Kalau menang, menanglah. Kalau kalah, kalahlah. Namun berundur tidak sekali. Biar putih tulang, jangan putih mata.
“Ditakdirkan Allah, Pas memilih untuk bersama PN dan gelombang “Abah” menjadi fenomena yang membantu kemenangan PN.
“Hasilnya, PN menang 74 kerusi Parlimen pada cubaan kali pertamanya bertanding dalam pilihan raya Umum. PN bukan parti nyamuk yang akan hilang sekelip mata seperti tanggapan sesetengah orang,” kata Marzuki.
Menurut beliau lagi, Muhyiddin sebagai Pengerusi PN kemudiannya telah mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Namun, nasib masih tidak menyebelahi beliau. Takdir Ilahi telah menentukan beliau bukan PM ke-10.
“Disebabkan kegagalan PN membentuk kerajaan selepas PRU-15, saya perhatikan keadaan menjadi semakin mencabar buat Muhyiddin. He is standing on a slippery slope.
“Di dalam parti, sudah mula kedengaran suara-suara yang menyalahkan beliau di atas kegagalan PN membentuk kerajaan. Ketegasan beliau mempertahankan prinsip untuk tidak bekerjasama dengan PH mula dipersoalkan.
“Apa lagi di luar parti. Untuk mematikan hayat politiknya, beliau didakwa di mahkamah atas suatu kesalahan yang tidak diketahui dalam undang-undang. “An offence unknown in law” seperti keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan beliau.
“Kemenangan besar PN dalam PRN 2023 dan tahap populariti Muhyiddin yang paling tinggi dalam kalangan pemimpin PN tidak menghentikan gerakan menjatuhkan beliau. Bagi kumpulan yang ingin menjatuhkannya, Tan Sri Muhyiddin dilihat sebagai liabiliti kepada PN,” katanya.
Sejak itu Marzuki memberitahu, semakin banyak maklumat yang saya terima tentang gerakan untuk menikam beliau dari belakang.
“Di depan beliau disanjung, tetapi di belakang pedang sedang diasah untuk dihunus apabila tiba masanya.
“Maklumat ini pada awalnya saya tidak sampaikan kepada Muhyiddin kerana saya tahu beliau tidak suka dengar cerita-cerita buruk tentang partinya. Lebih-lebih lagi gerakan itu melibatkan orang kepercayaannya.
“Jadi pada masa itu maklumat ini saya anggap seperti cerita kedai kopi yang masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri saya,” katanya.



