KUALA LUMPUR – Malaysia menerima pujian daripada pelbagai pihak antarabangsa selepas berjaya memimpin rundingan yang membawa kepada termeterainya Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja, sekali gus menamatkan ketegangan berpuluh tahun di sempadan kedua-dua negara itu.
Perjanjian bersejarah yang ditandatangani di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) kelmarin, turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta beberapa pemimpin ASEAN dan kuasa besar dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Media antarabangsa seperti The Washington Post, Al Jazeera, The Guardian, The Japan Times, ABC Australia, Bangkok Post turut menyiarkan laporan mengenai kejayaan rundingan itu, dengan menonjolkan peranan Malaysia sebagai fasilitator utama dalam memastikan kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan selepas beberapa siri ketegangan berlaku sejak tahun lalu.
Perjanjian yang dimeterai sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dan menjadi antara pencapaian diplomatik terbesar rantau ini sejak penubuhan Piagam ASEAN.
Laporan berita Bangkok Post turut memuji peranan pegawai yang bekerja keras di belakang tabir sehingga dapat merealisasikan perjanjian bersejarah itu.
“Malaysia kunci utama penyelesaian konflik dan penghargaan harus diberikan kepada semua pegawai yang telah bekerja keras di belakang tabir.
“Malaysia, sebagai pemudah cara adalah pemain utama yang penting manakala AS perlu dilihat sebagai pemangkin (accelerator) memandangkan pengaruhnya ke atas dua pihak yang berkonflik, iaitu Thailand dan Kemboja,” kata laporan itu memetik BH pada Selasa.
Menurut laporan Reuters, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, bersetuju menghentikan permusuhan ketenteraan di kawasan sempadan yang sebelum ini sering menjadi medan pertempuran kecil.
Antara komponen utama perjanjian itu pengunduran senjata berat oleh Thailand dan Kemboja dari kawasan sempadan serta pemindahan dan pemusnahan bahan letupan atau periuk api serta penubuhan pasukan pemerhati ASEAN bagi memantau pelaksanaan perjanjian berkenaan.
Selain itu, kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan Majlis Bersama Sempadan Thai–Kemboja (TCBJC) yang berperanan menyelaras aktiviti keselamatan dan pembangunan ekonomi di wilayah bersempadan.
Al Jazeera dalam analisisnya menyifatkan perjanjian itu sebagai “langkah besar ke arah kestabilan serantau” dan menegaskan bahawa kehadiran Malaysia sebagai negara tuan rumah memberi kredibiliti kepada proses perdamaian.
Laporan oleh The Japan Times memaklumkan usaha Anwar menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat dialog antara kuasa besar dunia memberi dimensi baharu kepada sidang kemuncak ASEAN yang sebelum ini sering dilihat sekadar acara simbolik memperlihatkan kesatuan serantau.
Kehadiran Trump pada sidang kemuncak ASEAN turut membawa kepada beberapa persetujuan penting membabitkan tarif perdagangan, mineral kritikal serta penandatanganan Perjanjian Damai antara Kemboja dan Thailand, yang menjadi syarat utama ditetapkan Trump sebelum menghadiri persidangan itu.
Media tempatan pula menggambarkan penganjuran sidang kemuncak itu sebagai lambang kebangkitan semula diplomasi Malaysia, dengan Kuala Lumpur kini diiktiraf sebagai jambatan penghubung antara Timur dan Barat serta bukti kepimpinan serantau yang semakin terserlah di bawah pentadbiran Anwar.
Kejayaan Kuala Lumpur menjadi hos kepada rundingan damai itu sekali lagi mengangkat imej Malaysia sebagai pemain diplomatik berpengaruh di rantau ASEAN, di samping menegaskan komitmen negara dalam memelihara keamanan serantau dan kestabilan politik Asia Tenggara.



