KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata beliau sudah menyatakan secara dalaman bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi relevan sebaik Bersatu kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, masing-masing pada 2021 serta 2022.
Mengakui ‘anak emas’ kepada Presiden Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal yang keahliannya digantung selama satu penggal berkata, beliau pernah menegur dan membangkitkan mengenai prestasi Muhyiddin secara dalaman, menerusi mesyuarat parti.
Dalam mesyuarat itu, beliau membangkitkan beberapa isu antaranya kempen yang dijalankan pada PRN berkenaan tidak kena gaya kerana terlalu berpaksikan individu iaitu Muhyiddin.
“Saya mengaku saya adalah orang yang dalam mesyuarat Armada cakap abah (Muhyiddin) tidak lagi relevan. Saya cakap dalam mesyuarat, secara dalaman bukan dekat luar.
“Kenapa (saya cakap abah tak relevan)? Lihat saja prestasi (PRN) waktu itu di Johor dan Melaka. Abah gagal untuk memimpin kemenangan. Kempen juga salah kerana fokus semata-mata individu.
“(Muhyiddin) Bukan seperti (Datuk Seri) Najib (Razak). Dia adalah ‘Bossku’. Dia ada legasi 10 tahun yang dia boleh ungkit. Abah? (pengalaman uruskan) COVID19 pun susah nak yakinkan orang lain.
“Sebagai ketua pemuda (ARMADA) ketika itu, saya pergi ke akar umbi, cakap kepada pengundi dan mereka beritahu saya (perkara) ini. Saya beritahu ‘budak-budak’ saya jangan berkempen guna nama ‘abah’ kerana tak kena dengan apa pengundi nak masa itu,” katanya pada sidang media di Parlimen, lapor BH pada Selasa.
Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, yang mendakwa gerakan menjatuhkan Muhyiddin sudah lama bermula sejak peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 2021.
Menurut Marzuki, berdasarkan pemerhatiannya, berlaku perubahan sikap yang ketara dalam kalangan beberapa pemimpin kanan parti selepas peletakan jawatan itu.
Membandingkan dengan pendekatan kempen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor, Wan Ahmad Fayhsal berkata apa dilakukan gabungan parti berkenaan lebih berkesan berbanding kempen Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
“Umno masa PRN Johor lebih berani dengan mengetengahkan slogan ‘Kemakmuran Demi Kestabilan’ dan ia menjadi. Masa itu, mereka tak stabil dan dengan pendekatan itu, mereka menang besar.
“Kepada Marzuki, dia cumalah seorang penganalisis, saya orang politik. Berbeza pemerhatian. Bila cakap cakap, dia tak suka, tak selesa. Adakah saya salah? Adakah saya biadab? Adakah saya cakap dekat luar bahawa abah tak menunjukkan prestasi baik.
“Dekat khalayak, saya pertahankan abah termasuk sewaktu dia kena dakwa (di mahkamah). Saya buat bermacam-macam, sedaya mungkin semasa saya ketua pemuda dulu,” katanya.
Faizal Azumu dan Azmin didakwa tak senang dengan Hamzah Zainudin
Beliau juga mendedahkan ada pihak dalam Bersatu ketika ini tidak selesa dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin, antaranya Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dakwanya dua individu terbabit antara dalang yang mempengaruhi Muhyiddin untuk mengambil tindakan terhadap ahli Bersatu yang menyokong Ahli Parlimen Larut itu untuk menerajui parti.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata beliau tidak akan menyertai parti lain.
Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya akan berjuang untuk memperbetulkan parti itu.
“Tidak (akan sertai parti lain). Buat masa sini, kami akan berjuang untuk memperbetulkan Bersatu.
“Insya-Allah, Allah akan bantu sebab kami tidak melakukan kesalahan,” katanya.
Selepas kena tindakan digantung keahlian Bersatu, wujud dakwaan Ahli Parlimen Machang berkenaan mahu menyertai Pas.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kemudian menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengaitkan Wan Ahmad Fayhsal mahu menyertai partinya.
Menyentuh mengenai ada dalam kalangan Ahli Parlimen Bersatu mahu menghantar memorandum kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendesaknya meletak jawatan sebagai presiden, Wan Ahmad Fayhsal menyatakan beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu.
“Saya tidak tahu sebab saya tidak tandatangan (memorandum). Saya tidak terbabit dalam apa yang Ahli Parlimen (Bersatu) buat,” katanya.



