TUDM Percepat Hantar Bantuan Petugas Kesihatan Ke Sabah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Situasi ‘cemas’ di Sabah susulan kes Covid-19 yang terus meningkat menyebabkan ratusan petugas kesihatan dari Semenanjung Malaysia segera diterbangkan ke sana untuk memberi bantuan.

Terbaharu, 61 petugas kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Kota Kinabalu dan Tawau, Sabah hari ini.

Daripada 61 petugas kesihatan itu, 47 individu diterbangkan ke Kota Kinabalu manakala 14 individu ke Tawau.

Jurucakap TUDM berkata, dua pesawat A400M diatur gerak semalam, selain turut membawa peralatan perubatan KKM bagi kegunaan pusat kesihatan di negeri berkenaan.

“Antara peralatan perubatan dibawa adalah emergency trolley, medical ward screen dan pakaian perlindungan diri (PPE).

“Selain itu, pesawat A400M TUDM dari Pangkalan Udara Subang turut membawa 26 kotak sampel swab test dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau ketika penerbangan pulang.

“Semua sampel sudah diserahkan kepada pihak KKM sejurus tiba di Pangkalan Udara Subang,” katanya.

Menurutnya, TUDM akan terus komited melaksanakan tanggungjawab dan amanah diberi terutama dalam membantu negara memerangi gelombang ketiga pandemik Covid-19.

“Semoga usaha bersepadu dilaksana dengan pembabitan pelbagai kementerian dan agensi dapat membantu negara menghadapi cabaran getir secara holistik demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pada Sabtu lalu, pesawat angkut TUDM model C130H melaksanakan penerbangan ke Sabah bagi membawa kelengkapan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HMATM) dan alatan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Kota Kinabalu serta Tawau.

Penerbangan itu membawa 350 kit keselesaan disumbangkan Malaysia Airports untuk petugas barisan hadapan di Kota Kinabalu dan Tawau. Kit keselesaan ini terdiri daripada satu beg tidur, satu tuala muka dan satu set peralatan mandian.

Penerbangan pulang ke PU Subang pula, pesawat C130H ini turut membawa 20 kotak sampel swab test dari Tawau dan Kota Kinabalu yang diserahkan kepada KKM sebaik tiba di PU Subang. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat