KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa kegagalan pembangkang dalam undian belah bahagian Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 sebagai kekalahan bermaruah.
Dakwa wakil rakyat Bersatu itu, RUU Perbekalan Kerajaan 2025 yang telah diluluskan ini sebenarnya akan buka pintu kerosakan yang lebih parah di Kementerian Kewangan kerana kuasa Menteri Kewangan sudah jadi seperti maharaja.
“Walaupun kami kalah undi berbelah bahagi tadi, kami kalah bermaruah. Allah menjadi saksi kami telah lakukan teguran untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara daripada kediktatoran ala Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Anwar berdegar-degar janji nak hapus, lawan rasuah tapi RUU Perbekalan Kerajaan 2025 yang telah diluluskan ini sebenarnya akan buka pintu kerosakan yang lebih parah di Kementerian Kewangan kerana kuasa Menteri Kewangan sudah jadi seperti maharaja,” dakwa beliau.
Kata Wan Ahmad Fayhsal ianya RUU yang licik – mengaburi rakyat menggunakan fasal-fasal perundangan yang berselirat tapi hakikatnya ada banyak klausa pengecualian yang memberikan kuasa dan lesen besar buat Menteri Kewangan untuk tidak mengikuti akta tersebut.
“Benarlah kata Tacitus: the more corrupt the state is, the more numerous the laws!
“Welcome to Malaysia Madani where Reformasi is just a mere Trickery,” bidas beliau.
Sebelum itu media melaporkan, a RUU Perolehan Kerajaan 2025 tidak berhasil digagalkan pembangkang hari ini.
Berdasarkan undian belah bahagian, sejumlah 125 Ahli Parlimen mengundi bersetuju dengan RUU berkenaan untuk diluluskan pada bacaan kali kedua, dengan 63 mengundi sebaliknya, manakala 32 ahli tidak hadir seorang tidak mengundi.
Jumlah undian itu meranapkan hasrat pembangkang menggagalkan RUU Perolehan Kerajaan 2025 apabila undi belah bahagian yang dijalankan tidak memihak gabungan itu.
Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, ketika mengendalikan undian terbabit.
Sebelum itu lebih 15 Ahli Parlimen daripada blok pembangkang bangkit memohon undi belah bahagian diadakan sejurus sesi penggulungan RUU itu selesai oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, sebelum dibenarkan Speaker Dewan Rakyat.



