BN cuma parti ‘underdog’, parti pemerintah miliki banyak kelebihan – Zahid elak terlalu yakin menang Negeri Sembilan

SEREMBAN- Barisan Nasional (BN) tidak mahu terlalu yakin dan beranggapan parti itu hanya ‘underdog’ (bukan pilihan) dan akan berusaha sehabis baik untuk memenangkan calon-calon bertanding meskipun ramai penganalisis meramalkan BN bakal menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan terus bekerja kerana parti ini adalah ‘underdog’ kerana yang menjadi kerajaan ialah gabungan Pakatan Harapan (PH) walaupun BN-PH bersama di peringkat nasional.

“Sebagai parti gabungan yang ‘underdog’, tentulah kelebihan itu pergi kepada parti gabungan yang memerintah (PH).

“Jadi kami bekerja dengan penuh rendah diri dan juga merayu kepada para pengundi di seluruh Negeri Sembilan agar berikanlah peluang kepada kami semula untuk mentransformasikan negeri ini untuk menjadi salah sebuah negeri yang ke hadapan dari segi pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan juga menggamit pelaburan dari luar dan juga dari dalam negara kita demi kemajuan untuk rakyat Negeri Sembilan keseluruhannya.

“Saya rasa kita memang ‘underdog’ dalam kali ini dan kita tidak mahu melihatkan bahawa kita terlalu yakin dan kita yakin dengan apa yang kita sedang lakukan dan kita yakin kita akan dapat menghidangkan kepada pengundi-pengundi dan penduduk Negeri Sembilan sesuatu yang berbeza daripada apa yang sedang mereka peroleh sekarang di Negeri Sembilan. Maka klasifikasi ‘underdog’ ini menjadi penting kepada kami supaya kami tidak terlepas pandang kepada kumpulan sasaran, biar sekecil mana pun kumpulan itu.

“Oleh itu, adalah penting untuk mengingatkan pemimpin dan jentera parti supaya tidak melakukan sesuatu di luar daripada normal dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak dapat diterima oleh pengundi-pengundi dan diharap pengundi-pengundi terus memberikan keyakinan tentang apa yang kami janjikan melalui manifesto dan apa yang kami akan lakukan apabila Adun-adun yang dipilih nanti dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengundi-pengundi yang diwakili oleh mereka,” kata Timbalan Perdana Menteri itu pada sidang media selepas menyempurnakan Konvensyen Pekebun Kecil RISDA peringkat Zon Tengah di Seremban pada Isnin.

Presiden Umno itu berkata demikian mengulas jangkaan ahli DAP Ong Kian Ming bahawa BN dan PN akan menguasai kerajaan Negeri Sembilan dengan memenangi antara 23 hingga 25 daripada keseluruhan 36 kerusi pada PRN 1 Ogos ini.

Dalam unjuran terbaharunya, bekas ahli Parlimen Bangi itu menjangkakan PH hanya mampu memenangi antara 11 hingga 13 kerusi, dengan PKR berkemungkinan memperoleh satu kerusi manakala selebihnya dimenangi DAP.

Kian Ming, yang kini profesor adjung di Universiti Taylor’s berkata kerjasama pilihan raya BN-PN memberi kelebihan kepada kedua-dua gabungan kerana dapat mengelakkan perpecahan undi Melayu yang sebelum ini membantu PH memenangi beberapa kerusi.

“Dengan kerjasama pilihan raya antara PN dan BN, sokongan pengundi Melayu terhadap kedua-dua gabungan berkemungkinan besar melebihi 70 peratus.

“Ini membolehkan calon kedua-dua gabungan mengelakkan undi Melayu daripada berpecah,” katanya dalam analisis berkenaan.

Unjuran beliau itu dibuat berdasarkan anggaran peratusan keluar mengundi sebanyak 80 peratus bagi pengundi Melayu, 65 peratus bagi pengundi Cina, 60 peratus bagi pengundi India dan 65 peratus bagi pengundi kaum lain.

Pada PRN kali ini, PH bertanding secara bersendirian di semua 36 kerusi.

BN pula bertanding di 25 kerusi menerusi kerjasama pilihan raya dengan PN yang dipimpin Pas, yang bertanding di baki 11 kerusi tanpa pertembungan sesama mereka.

Bersatu, walaupun masih menjadi parti komponen PN, bertanding secara berasingan di 24 kerusi menggunakan logonya sendiri.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat