Rang Undang-Undang Larang Tukar Parti Dibentang Di Dewan Negara 9 Ogos – Wan Junaidi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti akan dibentang untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Negara 9 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pihaknya berharap rang undang-undang tersebut dapat dikuatkuasakan bermula pada minggu pertama September iaitu berdasarkan garis masa ditetapkan.

“Undang-undang ini bermula dengan apabila dilulus oleh Dewan Negara (kemudian) kita akan persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan apabila Duli Tuanku telah berkenan dan dikembalikan kepada kita semula.

“Kemudian kita memohon dengan Duli Tuanku untuk melaksanakan rang undang-undang ini, permohonan Ahli-ahli Parlimen adalah disegerakan. Apa yang di bawah kawalan kita insya-Allah kita buat yang terbaik,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata rang undang-undang ini memberikan kebebasan kepada negeri-negeri sama ada mahu menerima guna (adopt) rang undang-undang tersebut atau tidak.

“Sepertimana undang-undang undi 18, negeri boleh mahu menggunakan usia 18 tahun untuk calon atau tidak, kita berikan kebebasan untuk negeri adopt RUU ini, walaupun ada undang-undang yang boleh kita gunakan untuk negeri menggunakannya.

“Sekarang empat negeri telah ada undang-undang ini – Kelantan, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang. Ada sembilan lagi negeri, jika negeri ini merasakan ini adalah yang terbaik, kita harap mereka akan gunakan,” katanya.

Namun katanya, pihaknya akan menjalankan sesi libat urus dengan pihak kerajaan negeri bagi memujuk negeri mewartakan rang undang-undang itu.

Antara peruntukan yang dimasukkan ke dalam rang undang-undang itu ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong, boleh dengan kebenaran ketua negeri untuk menjadikan undang-undang ini terpakai di peringkat negeri menerusi pewartaan.

Wan Junaidi turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan rang undang-undang berkenaan termasuk Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah ‘lompat parti’ mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan hari ini, sekali gus melakar sejarah yang mengubah landskap politik tanah air.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu memperoleh masing-masing sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, manakala 11 lagi Ahli Parlimen tidak hadir. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat