Trans Keriang uji adrenalin

- Advertisement -

GUNUNG Keriang di Alor Setar, Kedah bukan sahaja menjanjikan pemandangan indah tetapi kaya dengan sejarah dan ceritanya tersendiri.

Malah gunung purba batu kapur yang terletak di tengah jelapang padi ini mempunyai ketinggian 217.92 meter dari paras laut dan dipercayai terbentuk lebih 250 juta tahun lalu.

Terdapat beberapa gua di kaki gunung turut menjadi tumpuan pencari batu kristal dan tahi kelawar bagi dijadikan baja.

Penulis juga sudah beberapa kali mendaki Gunung Keriang menerusi jalur pendakian umum di bahagian kanan gunung dengan kira-kira sejam perjalanan ke puncak.

Namun pengalaman berbeza ketika menyertai ekspedisi Trans Keriang iaitu pakej baharu yang diperkenalkan Persatuan Sukan Mendaki Kedah (HAACK) kepada penggemar aktiviti ekstrem.

Ekspedisi menerusi jaluran baharu ini agak mencabar dan memerlukan peserta memakai abah-abah dan kelengkapan keselamatan untuk memanjat.

Pendakian bermula di bahagian kiri gunung iaitu kuari lama, membabitkan tiga pendaki berpengalaman HAACK yang diketuai presidennya, Nazrilazdin Jamaludin dan empat peserta.

Terdapat empat bongkah batu yang membentuk laluan sukar, namun ‘technical climbing’ di sini turut menguji kekuatan mental.

KEINDAHAN Gua Raja. FOTO Zuhainy Zulkifli
KEINDAHAN Gua Raja. FOTO Zuhainy Zulkifli

Situasi cemas apabila batu seberat hampir 100 kilogram (kg) yang jatuh menggelongsor hampir mengenai penulis menjadi pengalaman berharga selain membuatkan semua peserta lebih berhati-hati dalam setiap langkah selain peka terhadap arahan.

Perjalanan mengambil masa selama hampir tiga jam ke lokasi pertama iaitu Gua Raja, yang berkedudukan agak tersorok menyerlahkan sisi misterinya.

“Gua itu ditemui HAACK kira-kira setahun lalu ketika meninjau laluan pendakian berkenaan.

“Kegelapan ruang diisi dengan cahaya matahari menembusi lubang gua dan dapat dilihat dengan jelas stalagmit serta stalagtit yang terbentuk sejak ratusan tahun lalu,” kata Nazrilazdin.

Namun yang menarik perhatian penulis ialah beberapa bahagian dinding gua yang menyerupai ukiran wajah manusia.

Perjalanan diteruskan hampir satu jam lagi untuk ke lokasi utama yang diberi jolokan ‘The Lost World of Keriang’ berikutan pemandangannya yang memukau.

Mata dijamu dengan pemandangan petak sawah padi dan deretan rumah kampung selain sayup kelihatan Gunung Mat Chinchang di Langkawi.

Amat teruja dapat menyertai aktiviti ‘abseiling’ yang membolehkan peserta ‘tergantung’ pada ketinggian kira-kira 200 meter dengan memakai peralatan keselamatan, sudah tentu mencabar adrenalin.

Ini bukan pengalaman pertama penulis melakukan abseiling, namun diakui masih ada perasaan gementar.

Terdapat dua lagi lokasi tempat persinggahan bagi melihat pemandangan indah iaitu Takal dan Beranda Gunung Keriang diikuti perjalanan pulang yang menembusi jalur pendakian umum.

PENDAKI perlu berhati-hati dengan setiap langkah. FOTO Zuhainy Zulkifli
PENDAKI perlu berhati-hati dengan setiap langkah. FOTO Zuhainy Zulkifli

Memanjat dan mendaki sejauh tiga kilometer (km) selama tujuh jam bagi menamatkan Trans Keriang terasa berbaloi demi merasai pengalaman.

Harus diingat supaya mengikut disiplin pendakian iaitu tidak leka dengan gajet atau bergambar serta mematuhi arahan demi keselamatan.

Nazrilazdin berkata, tujuan HAACK mewujudkan pakej Trans Keriang adalah bagi mencipta kelainan terhadap produk pelancongan ekstrem di negeri ini.

“Semua kelengkapan dan aktiviti adalah di bawah pemantauan badan berlesen dan berpengalaman dalam bidang berkenaan.

“HAACK sudah beberapa kali melakukan tinjauan di sini untuk mengenal pasti kemudahan yang sesuai bagi memudahkan aktiviti mendaki misalnya menyediakan tanda arahan atau kabel keselamatan sepanjang laluan.

“Tanggungjawab kami bukan sahaja bagi memastikan keselamatan peserta, tetapi memberi kepuasan dan pengalaman pendakian yang berbeza,” katanya yang berpengalaman selama lebih 30 tahun dalam bidang berkenaan.

Antara inisiatif yang sudah dilakukan HAACK ialah menyediakan tangga kukuh di bahagian curam Bukit Kodiang bagi menjamin keselamatan pendaki.

Mitos Gunung Keriang sering diceritakan secara lisan oleh penduduk tempatan mengenai makhluk sakti, Sang Kelembai yang menyumpah puteri raja menjadi batu lantaran cintanya ditolak.

Kewujudan gunung dikatakan berasal daripada sebuah kapal membawa rombongan pengantin diraja yang turut disumpah menjadi batu dan sehingga kini masih terdapat batu menyerupai pengantin di dalamnya.

Antara peninggalan lain ialah bentuk tali panjang dipercayai tali kapal dan serpihan pinggan, namun sejauh mana kebenaran cerita ini masih menjadi tanda tanya dan terpelihara.

Terdapat lebih 20 gua dan sebilangan besarnya belum diteroka namun ada beberapa gua iaitu Gua Terus, Gua Pelamin dan Gua Seribu Bayur, boleh dikunjungi menerusi aktiviti ‘caving.’

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat