90 Peratus Lepasan ILP Berjaya Dapat Tempat Pasaran Kerja

- Advertisement -

IPOH – Lebih 90 peratus graduan lepasan Institusi Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh berjaya mendapat peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor perindustrian.

Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, data yang direkodkan sejak 2013 hingga 2019 itu menunjukkan kebolehpasaran yang tinggi bagi tenaga kerja berkemahiran.

Menurutnya, tidak hanya memenuhi pasaran kerja dalam negeri, graduan lepasan ILP Ipoh turut mendapat permintaan tinggi di kawasan hab perindustrian lain seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

“Peratusan ini menunjukkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sangat diperlukan dalam pasaran kerja negara.

“Saya secara kebetulan baru balik dari Singapura semalam (Isnin), kedua-dua syarikat yang telah berikan komitmen di Perak menyatakan bahawa kemahiran ini satu daripada kriteria utama mereka membuat keputusan untuk melabur di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-25 Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh di sini, pada Selasa yang turut dihadiri Pengarah ILP Ipoh, Azmi Mat.

Shahrul Zaman berkata, kerajaan negeri terus memperkasa program TVET selari dengan pertumbuhan pembangunan industri di negeri ini.

Katanya, tahun ini sahaja, sebanyak RM4 juta diperuntukkan di bawah Jawatankuasa Program TVET bagi melaksanakan latihan kemahiran di bawah kendalian Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) dan ILP Ipoh sebagai ahli jawatankuasa teknikal kecil TVET Perak.

“Sekarang, kalau industri nak dibangunkan, perkara pertama mereka

“Jadi saya harap ILP Ipoh dapat menjadi institusi unggul dalam melatih dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir berkualiti seterusnya berupaya memenuhi keperluan industri di Perak,” katanya.

Konvokesyen ke-25 ILP Ipoh melibatkan 651 graduan diploma kemahiran dan sijil dalam pelbagai bidang antaranya Sijil Teknologi Perindustrian Teknologi Elektrik, Teknologi Elektrik (3 Fasa), Teknologi Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara; Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Teknologi Elektrik (3 Fasa) dan Teknologi Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara serta Sijil Suruhanjaya Tenaga (ST) Pendawaian Elektrik 3 Fasa (PW4).

Dalam majlis itu, Muhammad Firdaus Osman dan Muhammad Syahrifuddin Mohd Salleh Huddin dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Industri.

Anugerah itu merupakan sumbangan daripada Prihoda Malaysia Sdn Bhd iaitu syarikat antarabangsa yang menjadi pengedar tunggal teknologi fabric ducting di Malaysia.

Anugerah Graduan Terbaik pula diberikan kepada Aiman Yusoff Pezol Ahmad dari Kursus Teknologi Cadd Mekanikal, Saiful Amirul Fikri Saiful Fahmi (Kursus Teknologi Kimpalan), Nuh Azlan (Kursus Teknologi Cadd Mekanikal), Muhammad Fahmi Mohd Razali (Kursus Teknologi Fabrikasi Logam) dan Khairul Islah Abdul Mudin (Kursus Teknologi Elektrik). – Sinar

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,592FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat